Wednesday, February 10, 2016

Apakah Khairuddin Othman Bakal Senasib Dengan Hashim Gera Dan Said Yassin?

capture-20131016-134222
Kita tidak tahu apa yang bermain di minda Khairuddin, apabila bersetuju untuk mengenakan kostum yang sangat dipuja dan dipercayai membawa rezeki dan kekayaan oleh masyarakat Cina.

Pelbagai telahan, komentar dan kritikan diterima olehnya, gara-gara tindakannya sendiri.

“Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari.Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari”. Itulah alasan dari Hashim Gera, ahli Parlimen PAS yang menang pada pilihanraya umum 1969 sewaktu dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti berikutan tindakannya “berjoget lambak”.

Mungkin sedikit “loyar buruk”, namun itulah alasan yang diberi. Ketika itu, PAS menolak penjelasan tersebut dan mengambil keputusan bahawa tindakannya berjoget lambak melangkaui agama dan memalukan PAS. Hashim Gera dipecat pada 16 Mei 1972.

Pada tahun yang sama, Said Yasin, ADUN PAS di Kedah juga dipecat gara-gara mengenakan seluar pendek sewaktu ketika bermain bola dan lawan perahu naga sempena hari keputeraan Sultan Kedah.

Jika diambil teladan dari apa yang berlaku ke atas kedua-dua pemecatan di atas, apa pula yang bakal dihadapi oleh Khairuddin, ADUN PAS dari Paya Jaras yang mengenakan kostum dewa Cai Shen?

Dalam isu Hashim Gera, apa yang dapat kita lihat, keputusan dibuat berdasarkan sikap dan akhlak seorang pemimpin PAS. Sementara Said Yasin, mungkin ia berlandaskan syariah, iaitu gagal menutup aurat yang akhirnya juga memalukan PAS sebagai parti yang mendakwa lebih Islamik dari yang lain.

Bagaimana pula jika menyerupai dewa yang dipuja dan dipercayai membawa rezeki dan kekayaan oleh masyarakat bukan Islam? Bukankah ia jatuh kepada permasalahan akidah?

Dalam Islam, akidah memiliki kedudukan yang sangat penting. Ibarat sebuah bangunan, akidah adalah asas binaannya, sedangkan perkara lain seperti ibadah dan akhlak, adalah sesuatu yang dibina di atasnya. Rumah yang dibina tanpa asas adalah sangat rapuh. Jangankan gempa bumi atau ribut, untuk sekadar menahan atau menanggung bumbung, ia tidak akan mampu malah jatuh hancur.

PAS bertegas dengan keputusan mereka ke atas Hashim Gera dan Said Yasin. Apa pula yang bakal PAS lakukan ke atas Khairuddin Othman, ADUN PAS Paya Jaras merangkap Setiausaha PAS Selangor?

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment