Thursday, February 18, 2016

APPLE, TESLA Berminat Menjalinkan Kerjasama

Malaysia akan menjalinkan kerjasama de­ngan dua syarikat teknologi gergasi dunia, Apple Inc. serta Tesla Motors dalam bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi tinggi di negara ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan meninjau peluang untuk mengusahakan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Apple bagi rantau Asia Pasifik di Malaysia.

Menurut beliau, pusat tersebut akan menumpukan kepada inovasi penggunaan teknologi telefon pintar untuk merangsang pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

“Selain itu, untuk mengembangkan lagi potensi minda golongan muda di Malaysia, kita juga akan meneroka peluang bagi menubuhkan Pusat Kecemerla­ngan Pembangunan Aplikasi Apple untuk mengenal pasti, mendidik dan melahirkan pemaju aplikasi tempatan.

“Mereka akan mereka cipta aplikasi-aplikasi untuk Apple Store yang bersesuaian bagi pembelajaran dan pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan melalui laman blog NajibRazak.com hari ini.

Perdana Menteri mengulas tentang kunjungan beliau ke ibu pejabat Apple dan Tesla di San Francisco, California di Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Beliau turut berpeluang memandu uji kereta elektrik terbaharu yang dinamakan ‘X’ semasa melawat ibu pejabat Tesla.

Sementara itu, Najib membe­ritahu, Tesla bersetuju untuk be­kerjasama dengan Malaysia bagi mempromosi kenderaan elektrik di negara ini.

“Tesla menyediakan sekurang-kurangnya 100 unit Model S, kereta sedan elektrik premium pertama di dunia ke Malaysia dan kita juga adalah negara pertama di ASEAN untuk menerima kereta-kereta Tesla ini,” jelasnya.

Beliau berpandangan, ba­nyak teknologi menarik dan canggih yang akan membentuk masa depan dunia sedang dibangunkan.

Perdana Menteri menyatakan, kerajaan sentiasa menyokong kewujudan syarikat serta pusat penyelidikan baharu berkaitan industri berteknologi tinggi dan industri pengetahuan.

“Insya-Allah, inovasi yang dibangunkan seperti di Apple dan Tesla ini satu hari kelak boleh dihasilkan juga di Malaysia,” katanya.

image

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment