Wednesday, February 17, 2016
Beberapa Peruntukan Dalam Rang Undang-undang MKN Harus Diperhalusi – Majlis Raja-Raja
KUALA LUMPUR : Majlis Raja-raja berpendapat
beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara
(MKN) perlu diperhalusi.
Majlis Raja-raja menzahirkan pandangan itu selepas Peguam Negara Tan
Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang
itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara di
sini, hari ini.
“Bagi maksud tersebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku
Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang ke-240 akan mewasalkan warkah
kepada YAB Perdana Menteri,” kata Penyimpan Mohor Besar Raja-raja
Malaysia Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan di sini.
Rang Undang-undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi
penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi
berkaitan keselamatan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu
dan kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Disember.
Mesyuarat Majlis Raja-raja hari ini dihadiri kesemua Raja-raja
kecuali Sultan Pahang yang diwakili Tengku Mahkota Pahang Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah, selaku Pemangku Raja Pahang.
Perkara-perkara mengenai agama Islam, pelantikan Pengerusi, Naib
Pengerusi dan Ahli Dilantik Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan
Pendidikan Agama Islam, pelantikan Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam, pelantikan Ahli-ahli Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam dan pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan turut
dibincangkan dalam mesyuarat itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment