Wednesday, February 10, 2016
Bukan Hak Mahathir Desak Rakyat Beli Kereta Proton
EDITOR MENULIS...
10 FEBRUARI 2016
Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap syarikat
pembuat kereta atas dunia ini mempromosikan kereta keluaran mereka
sebagai yang terbaik, berkualiti, bergaya dan berbaloi dengan wang yang
pembeli keluarkan.
Tapi di Malaysia cukup unik apabila Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir
Mohamad boleh terfikir nak mendesak rakyat negara ini membeli kereta
keluaran Proton bersandarkan alasan untuk kepentingan ekonomi negara.
Kata bekas Perdana Menteri itu, kalau rakyat Malaysia tidak menyokong
dan enggan beli kereta Proton, besar kemungkinan negara kita ini akan
kembali menjadi negara dunia ketiga yang gagal.
Saya boleh faham alasan duit dalam negara mengalir ke luar negara
bila beli kereta buatan luar, tapi hakikatnya ia bukan alasan kukuh
untuk memaksa dan mendesak rakyat negara ini hanya membeli dan
menggunakan kereta buatan Proton semata-mata.
Bukan hak Tun Mahathir untuk menentukan citarasa rakyat negara ini
terhad pada kereta Proton sahaja, apatah lagi Mahathir sendiri tidak
mampu menghalang anaknya, Mukhriz memiliki Mercedes S300 dan bukannya
Proton Preve.
Demikian juga seorang lagi anak lelakinya, Mokhzani yang pernah
dikhabarkan memiliki koleksi 18 buah kereta mewah termasuk Bugatti
Veyronn dan Pagani Zonda, sedangkan Proton Perdana yang sudah bertaraf
mewah tidak pula jadi pilihannya.
Bukankah kedua-dua anak lelaki Mahathir itu secara langsung sudah
menyebabkan aliran keluar duit ke luar negara bila mana membeli produk
negara asing?
Anak-anak Tun Mahathir sendiri tak bangga dan tak terfikir nak
membeli dan menggunakan kereta Proton, layakkah Tun nak mendesak rakyat
negara ini menyokong dan membeli kereta keluaran Proton?
Sebetulnya Tun, ramai rakyat Malaysia yang berbangga dengan kemajuan
Proton, namun untuk Proton pergi lebih ke depan dan menjadi pilihan
nombor satu rakyat, mahu tidak mahu Proton kena perbaiki kualiti biar
setaraf dengan harganya.
Kami rakyat marhaen nak beli sesebuah kereta perlu fikir tujuh lapan
kali sebelum mengeluarkan wang berpuluh ribu ringgit atau membuat
pinjaman dengan bank, pilihan dibuat perlu berbaloi dengan wang ringgit
dan bukan satu keputusan mudah.
Lihat contoh terdekat, Perodua, juga produk tempatan walaupun tak
sepenuhnya, tapi hingga sekarang nombor satu dari segi jualan.
Bertahun-tahun tak tercabar dek pengeluar kereta lain termasuk Honda
mahupun Toyota, apatah lagi Proton.
Tahun 2006 jualan Perodua 155,479 unit terus mencanak naik dan tahun
2015 merekodkan jualan 203,317 unit. Proton? Tahun 2006 jualan 115,706
unit naik selama 5 tahun berikut sehingga 2011 (158,657 unit) kemudian
mula merosot tahun demi tahun hinggalah tahun 2015 hanya merekodkan
jualan 102,175 unit sahaja.
Kenapa Perodua boleh naik dan Proton pula merudum, sedangkan
kedua-duanya turut bersaing dengan produk luar negara? Mengapa Perodua
lebih menjadi pilihan ramai berbanding kereta keluaran Proton? Tentu ada
sebabnya.
Tidak perlu paksaan dalam pembelian, jika harga ditawarkan
kompetitif, rekabentuknya menarik dan kualiti memuaskan hati serta tak
banyak ragam dah tentu gerenti tiada masalah untuk memikat hati ramai
pembeli. Itu sahaja petuanya.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment