Wednesday, February 10, 2016
Catat Sejarah Ahli Politik Pertama Perguna Stadium Untuk Selamatkan Karier Politik?
Khabarnya tempohari Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Mahathir telah
mengadakan himpunan secara besar-besaran, menghimpunkan 'berjuta-juta'
penyokongnya yang terdiri dari segala jenis makhluk manusia dan 'jin' di
Stadium Darul Aman.
Buat julung-julung kalinya, dan mungkin tidak pernah berlaku dalam
sejarah seorang ahli politik mempergunakan aset kerajaan negeri untuk
menyelamatkan jawatan dan karier politiknya. Sehebat-hebat Dato' Seri
Anwar Ibrahim pun, beliau hanya mampu menggunakan jalanraya sahaja. Tapi
Mukhriz mampu pergunakan harta rakyat Kedah untuk selamatkan diri!
Cerita dari rakan-rakan di Kedah turut memaparkan penyokong kuat Sirul
Azhar yang hadir bagi memeriahkan majlis gilang-gemilang itu. Hebat
sungguh 'aura' Mukhriz. Hinggakan Datuk Mahfuz Omar pun berjaya
dipujuknya 'menyertai' UMNO!
Penulis difahamkan bahawa kononnya Mukhriz telah membuka kaunter daftar
pemilih di Stadium Darul Aman semalam. Katanya, kaunter berkenaan telah
mendaftarkan lebih 1 juta pengundi baru untuk memenangkan Mukhriz pada
PRU 14 nanti. Benarkah dakwaan itu? Atau ia hanyalah cerita-cerita kedai
kopi sahaja?
Juga dikhabarkan kononnya Mukhriz telah membuka sebuah lagi kaunter
untuk semua yang hadir menyokong beliau semalam mendaftar keahlian
masing-masing menyertai UMNO. Lebih 1 juta juga yang mengisi borang
menyertai UMNO termasuk Mahfuz. Benarkah desas-desus itu? Atau ia juga
seperti cerita 'kepala perang Mukhriz' di Facebook?
Arwah Tan Sri Azizan Razak dulu juga pernah menggunakan Stadium Darul
Aman untuk kegunaan program politik. Namun beliau gunakan stadium
berkenaan bukan untuk kepentingan peribadi dan lebih menjurus ke arah
keseluruhan parti PAS di Kedah.
Mungkin Mukhriz tidak pernah dengar 'himpunan hijau ke Putrajaya'
penggal lalu. Maklumlah ketika itu beliau selalu sibuk bertugas sebagai
Timbalan Menteri MITI di ibu negara. Empat bulan sebelum PRU 13 baru
beliau kerap sedikit pulang ke Kedah. Kononnya kerana 4 bulan kerja
Mukhriz itulah beliau berjaya merampas Kedah dari PAS.
UMNO Kedah sepatutnya sedar bahawa bukan parti mereka yang merampas
Kedah kembali dari tangan PAS. Sebenarnya, Kedah dirampas oleh Mukhriz
seorang saja dengan jentera beliau sendiri. Beliaulah 'hero ulung' dan
'tunggal' yang amat digeruni PAS dulu!
Semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Kedah sepatutnya tunduk sujud pada
Mukhriz. Berani sungguh mereka 'derhaka' kepada Pengerusi UMNO Kedah.
Mereka perlu tahu bahawa Pengerusi UMNO Negeri lebih besar 'kepala'nya
berbanding Presiden UMNO di peringkat Pusat.
Sebenarnya, Mukhrizlah yang 'melantik' Dato' Seri Najib Tun Razak untuk
memegang jawatan Perdana Menteri. Dialah yang 'paling berkuasa' dalam
UMNO, bukan Najib. Bahkan 'Najib'lah yang 'merayu-rayu' supaya beliau
dilantik menjadi Perdana Menteri sebelum 'Mukhriz' bubarkan Parlimen dan
mengadakan PRU.
Jadi, jangan banyak cakaplah. Kerana beliau anak Tun Dr Mahathir
Mohamad, maka beliau 'betul semua' dan terlalu 'hebat' pengaruh
politiknya. Sebab itulah beliau 'menang' bertanding Ketua Pemuda
menentang Khairy Jamaluddin dan 'menang no.1' ketika bertanding jawatan
Naib Presiden UMNO.
Mukhriz sebenarnya tidak wajar 'diusik'. Kuasanya 'melebihi kuasa
Istana'. Kerana itulah beliau berani keluarkan kenyataan untuk pihak
Istana yang katanya 'murka'. Penulis tidak tahulah sama ada Istana Kedah
murka pada Adun Kedah atau sebenarnya murka pada perangai Mukhriz itu.
Mungkin itulah disifatkan seorang anak kelahiran aristokrat seperti
Mukhriz. Beliau semahunya ditimang dan dilambung ke atas. Jatuh sedikit
mula meroyan cuba heret rakyat dan Istana. Padahal, semua itu cuma
taktik beliau untuk perkakaskan mereka demi menyelamatkan diri. Itulah
Mukhriz, anak kepada Tun Dr Mahathir...
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment