Thursday, February 18, 2016
Ekonomi Malaysia Berkembang 5.0 Peratus Pada 2015
Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku
akhir (Suku 4) 2015, menjadikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) tahun penuh sebanyak 5.0 peratus berbanding 6.0 peratus pada
2014.
Negara mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.6 peratus pada suku pertama
(Suku 1) 2015 sebelum berkurangan kepada 4.9 peratus pada Suku 2 dan 4.7
peratus pada Suku 3. Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan berkata
ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus tahun lepas dengan tokokan nilai
RM1,062.6 bilion pada harga malar dan RM1,156.9 bilion pada harga
semasa.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan berkata
pertumbuhan Suku 4 disokong kebanyakannya oleh permintaan sektor swasta,
manakala bagi bahagian penawaran, ia disokong oleh sektor ekonomi
utama. Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, ekonomi berkembang
1.5 peratus berbanding 0.7 peratus dalam suku sebelumnya. Meskipun
persekitaran ekonomi mencabar pada suku keempat, Bank Negara berkata,
sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
Penggunaan swasta berkembang 4.9 peratus pada Suku 4 berbanding 4.1
peratus pada Suku 3, disokong oleh pertumbuhan upah dan keadaan pasaran
pekerja yang stabil.
Pelaburan swasta berkembang 5.0 peratus berbanding 5.5 peratus dalam
Suku 3, didorong oleh perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan
perkhidmatan.
Bagaimanapun, pelaburan awam mencatatkan pertumbuhan sederhana 0.4
peratus daripada 1.8 peratus pada Suku 3, berikutan pertumbuhan
perbelanjaan yang lebih rendah untuk harta tetap oleh Kerajaan
Persekutuan.
Penggunaan awam mencatat pertumbuhan yang mampan sebanyak 3.3 peratus
daripada 3.5 peratus pada Suku 3 apabila pertumbuhan yang lebih kukuh
dalam emolumen diimbangi oleh peningkatan lebih perlahan dalam
perbelanjaan untuk bekalan dan perkhidmatan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan sektor perkhidmatan pada Suku 4
tinggi sedikit disokong oleh aktiviti berkaitan penggunaan dan
perdagangan, terutamanya oleh industri berorientasikan dalam negeri
manakala pembinaan pula disokong oleh subsektor kejuruteraan awam dan
kediaman.
Sementara itu, pertumbuhan sederhana dicatatkan dalam sektor
pertanian pada Suku 4 berikutan pengeluaran minyak sawit yang lebih
rendah manaka sektor perlombongan mencatatkan penguncupan disebabkan
oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih rendah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment