Thursday, February 18, 2016
Ekonomi Malaysia Berkembang Lebih Dari Jangkaan - Bank Negara
Apa lagi pembangkang dan kumpulan anti Perdana menteri nak spin selepas
ini kerana data-data yang dikumpul Bank Negara mendapati Malaysia
berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik
daripada unjuran iaitu lima peratus bagi keseluruhan tahun 2015.
Kerajaan sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia hanya berkembang sekitar 4.5 peratus tahun lalu.
Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya pada Khamis berkata, bagi suku
terakhir 2015, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 4.5 peratus
berbanding 4.7 peratus suku sebelumnya didorong oleh terutamanya
permintaan sektor swasta yang kukuh.
Penggunaan awam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku ketiga 2015.
Penggunaan swasta pula berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku keempat
2015 berbanding 4.1 peratus suku sebelumnya disokong oleh pertumbuhan
stabil upah serta keadaan pasaran kerja.
Pelaburan swasta juga berkembang sebanyak 5.0 peratus, merosot sedikit
berbanding 5.5 peratus suku sebelumnya dipacu oleh perbelanjaan modal
sektor perkhidmatan dan pengilangan.
Pelaburan kerajaan berkembang sederhana pada suku keempat 2015 kepada
0.4 peratus berbanding 1.8 peratus suku sebelumnya disebabkan
pertumbuhan perlahan aset tetap yang dibelanjakan oleh Kerajaan
Persekutuan.
Bank Negara Malaysia berkata, permintaan domestik akan kekal sebagai
pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara berikutan tinjauan masa hadapan
ekonomi global masih tidak menentu.
Ini dapat disaksikan menerusi peningkatan kemeruapan dalam pasaran
kewangan pada minggu-minggu terawal 2016 disebabkan oleh kebimbangan
terhadap prospek pertumbuhan negara maju selain kejatuhan harga tenaga
dan perubahan polisi global.
Menurut bank pusat itu, meskipun ekonomi global dijangka berkembang
tetapi pertumbuhannya diramalkan sederhana dan tidak menyeluruh. Ekonomi
negara-negara maju dijangka berkembang sederhana manakala bagi
negara-negara Asia pula pertumbuhannya diunjurkan perlahan dan
bergantung kepada permintaan domestik.
"Ekonomi Malaysia dijangka menghadapi persekitaran yang mencabar dalam
tempoh terdekat ini. Pertumbuhan akan terus dipacu oleh permintaan
domestik dengan sedikit sokongan daripada eksport bersih.
"Bagaimanapun, kadar perkembangan permintaan diramalkan menyederhana
sementara pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan akan terus menyokong
penggunaan swasta. Selain itu, isi rumah dijangka akan terus
menyesuaikan diri dengan peningkatan kos hidup yang lebih tinggi.
"Pelaburan swasta dijangka menyederhana di bawah trend jangka panjangnya
namun masih disokong oleh perbelanjaan modal oleh sektor pengilangan
dan perkhidmatan serta pelaksanaan projek-projek infrastruktur,"
katanya.
Tambah Bank Negara, risiko negatif pertumbuhan masih kekal disebabkan
oleh ketidaktentuan persekitaran global serta reformasi berterusan
ekonomi domestik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment