Wednesday, February 10, 2016
Keuntungan Terkumpul TH Kekal Positif Sebanyak RM609 Juta
KUALA LUMPUR : Keuntungan terkumpul Lembaga Tabung Haji (TH)
masih kekal positif selepas pembayaran bonus 2015 iaitu sebanyak RM609
juta berbanding RM293 juta pada akhir tahun 2014.
Menurut TH dalam kenyataan di sini hari ini, usaha itu adalah langkah
awal dan selaras dengan saranan Bank Negara Malaysia untuk TH menyemak
kembali polisi rizab sedia ada.
“Ingin ditekankan di sini sekali lagi bahawa Bonus 2015 adalah
dibayar berdasarkan daripada keuntungan tahun semasa dan tidak sesekali
menggunakan rizab,” katanya.
Syarikat pengurusan dana tersebut telah mengkredit sebanyak RM3.2
bilion bayaran bonus kepada 8.85 juta pendepositnya sejak Isnin lalu.
Pendeposit boleh mengemaskini buku akaun masing-masing di semua
kaunter TH seluruh negara atau menyemak bayaran bonus melalui ATM
rakan-rakan strategiknya.
TH menegaskan penyata kewangannya telah disediakan mengikut piawaian
pelaporan kewangan yang diterbitkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan
Malaysia (MASB) dan menurut prinsip syariah.
Ketua Audit Negara dalam kenyataan beliau bertarikh 3 Feb 2016
mengesahkan Jabatan Audit Negara telah menyemak polisi perakaunan yang
diguna pakai oleh TH adalah konsisten dan mematuhi konsep berhemat.
“Oleh yang demikian, tiada sebarang isu berkaitan dengan ‘creative
accounting’ yang diguna pakai oleh TH seperti digembar-gemburkan oleh
sesetengah pihak,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment