Wednesday, February 10, 2016
Mukhriz Ketua UMNO Bahagian Jerlun Yang Syok Sendiri?
Penulis tidak kenal siapa yang berada di sekeliling Menteri Besar Kedah,
Dato' Seri Mukhriz Mahathir, dan penulis juga tidak tahu siapa
memberitahu beliau tentang suasana politik di negeri Kedah. Khabarnya,
dia sendiri yang menguruskan soal politik diri sendiri, bukan Setiausaha
Politiknya.
Khabarnya, mereka yang mengelilingi dan beliau lantik untuk berada di
sekelilingnya terdiri dari sahabat-sahabat baiknya dari Ansara, ada yang
dari luar Kedah, ada juga anak Kedah yang baru pulang negeri dan ada
pula yang memang berasal dari negeri berkenaan.
Khabarnya, mereka-mereka itulah yang dikumpulkan Mukhriz kira-kira 4
bulan sebelum PRU ke-13 untuk merampas Kedah kembali dari tangan PAS.
Kenyataan seperti itu membayangkan seolah Mukhriz menyifatkan UMNO
Negeri dan Bahagian ketika itu 'lembap' dan 'bengap'.
Dan kerana itulah beliau memulakan gerakannya sendiri kira-kira 4 bulan
sebelum PRU ke-13 berlangsung. Mukhriz mendakwa dia mengembeling tenaga
bersama NGO-NGO untuk menghasilkan gelombang merah di Pedu, menyerang
kepimpinan PAS yang dipimpin Almarhum Tan Sri Azizan Razak.
Kononnya, kerana gerakan beliau itulah maka BN menang, menewaskan PAS di
Kedah. 'Hebat' benar Mukhriz. Kerana dia maka PAS tewas di Kedah? Satu
cereka fiksyen atau halusinasi yang begitu menakjubkan. Apatah lagi ada
yang mengatakan jika Mukhriz tidak diumum menjadi Menteri Besar, maka
UMNO akan gagal menguasai Kedah ketika itu?
Itulah Mukhriz, anak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad. Seorang yang penulis kira begitu yakin pada kehebatan dirinya.
Konon kerana dirinya dan gerakan yang dia lakukan, maka UMNO kembali
menguasai Kedah.
Benarkah tentang apa yang diperkatakan itu? Apakah Mukhriz fikir
Ketua-Ketua UMNO Bahagian tidak tahu dia akan menjadi Menteri Besar
sekiranya Kedah berjaya dirampas dari PAS? Awal-awal lagi seluruh
kepimpinan UMNO Kedah sudah tahu.
Apakah Mukhriz tahu bahawa ketika itu ramai yang mahu melakukan sabotaj
terhadap gerak kerja UMNO di Kedah setelah tahu dia bakal menjadi
Menteri Besar? Tahukah dia siapa yang menahan, mempertahan dan
menghalang rancangan sabotaj tersebut?
Tahukah Mukhriz tentang siapakah yang menyatukan semua pemimpin UMNO di
Kedah untuk bersatu hati dan tidak memberontak ketika itu? Tahukah
Mukhriz bagaimana payahnya untuk menenangkan hati mereka yang enggan
tunduk pada ego, rasa 'besar' dan sikap dinginnya dengan orang-orang
lama di negeri berkenaan?
Lupakah dia pada siapa yang mencadangkan namanya untuk dijadikan Menteri
Besar? Tahukah dia jika namanya tidak dipersembah kepada Sultan Kedah,
dia hanya akan menjadi 'kera sumbang' di kalangan pemimpin BN di negeri
tersebut?
Meskipun telah bergelar Menteri Besar dan Pengerusi UMNO Kedah, Mukhriz
dilihat tidak mempunyai pengaruh politik yang kuat di sana. Katanya,
Mukhriz tidak perlukan pengaruh politik dari kepimpinan UMNO mahupun BN
di Kedah.
Apakah dia lupa parti manakah yang menjadikan dia Menteri Besar dan
Pengerusi UMNO Negeri? Dia lupa tanpa sokongan parti di Kedah, tidak
mungkin sama sekali dia menjadi Menteri Besar. Dia seperti puisi
bapanya, 'Melayu Mudah Lupa'.
Mungkin juga dia tidak tahu bahawa jika bukan namanya yang diumum
menjadi Menteri Besar malam itu, BN sebenarnya mampu menang majoriti
2/3. Dia mungkin juga tidak tahu bahawa jika bapanya bukan Penaung
Perkasa, BN mampu mendapat majoriti yang lebih kuat dan selesa.
Tapi itulah Mukhriz, seorang yang terlalu yakin pada dirinya. Ditambah
pula dengan 'orang keliling' yang hebat-hebat belaka, dia mungkin tidak
sedar jawatan Ketua Bahagian pun diperolehi secara 'beri laluan'. Itu
pun ada lagi yang mendakwa dia satu-satunya sebab UMNO berjaya rampas
Kedah dari PAS? Realistiklah sedikit...
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment