Wednesday, February 10, 2016
“Pandai Makan, Pandailah Cuci” – Dr Vida Mengulas Isu Tajaan Bolasepak Kelantan
PETALING JAYA : Penasihat Kehormat Persatuan Bola
Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menegaskan beliau
tidak akan sesekali membenarkan wang tajaannya kepada Pamoga Qu Puteh
The Red Warriors (PQPTRW) digunakan untuk membayar tunggakan gaji pemain
yang tidak lagi bersama pasukan tersebut.
Sebaliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida memberi
kata dua kepada badan induk bola sepak negeri itu supaya mencari
alternatif untuk segera menyelesaikan masalah itu.
“Saya serahkan kepada Tan Sri Annuar Musa selaku Presiden Kafa untuk
selesaikan masalah itu. Saya tak nak ambil tahu perkara yang sudah
lepas. Pandai makan kenalah pandai cuci pinggan.
“Saya tak nak cuci pinggan yang dah kotor. Saya hanya mahu beri
tumpuan kepada pembangunan pasukan musim ini. Saya kena tegas dalam
perkara ini,” katanya kepada media.
Jelas Vida, beliau turut ‘terpukul’ dengan beberapa kritikan pedas
yang turut mengaitkan dirinya susulan kegagalan menyelesaikan masalah
tersebut sehingga hari ini.
“Ada yang kata saya hanya berminat untuk mengecat stadium dan kecoh mengenai jersi, saya cukup terpukul dengan kenyataan itu.
“Ingin saya tegaskan di sini, wang tajaan saya itu hanya untuk
bayaran gaji pemain sedia ada sahaja, tiada kaitan dengan pemain sebelum
ini,” katanya.
Justeru, beliau meminta Kafa supaya berbincang dengan lima bekas
pemain Kelantan mengenai cara pembayaran gaji tertunggak tersebut bagi
menjaga imej PQPTRW musim ini.
“Saya harap Tan Sri (Annuar) berunding dengan mereka, fikirkan cara
bagaimana nak bayar. Jika masih gagal diselesaikan, ia akan beri kesan
buruk kepada pasukan pada aksi Liga Malaysia musim ini,” katanya.
Lima bekas pemain Kelantan yang masih belum menerima bayaran
tunggakan gaji masing-masing adalah Amiridzwan Taj Tajuddin, Amar
Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Fitri Omar dan Muhammad Nazri Ahmad.
Awal bulan lalu, Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sedia
mengenakan hukuman memotong mata mana-mana pasukan bermula musim ini
yang masih gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
Selain Kelantan, dua lagi pasukan yang masih gagal melunaskan hutang
terhadap pemain ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United.
Terdahulu, Kafa mewujudkan akaun khas seperti yang dikehendaki Vida
di mana wang tajaannya sebanyak RM6 juta semusim akan digunakan khusus
untuk membayar gaji pemain bagi mengelakkan berlaku masalah tunggakan
gaji.
Manakala, baki RM2 juta lagi digunakan untuk baik pulih stadium (RM1 juta ) dan penganjuran Piala Datuk Seri Vida (RM1 juta).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment