Wednesday, February 10, 2016
Pemimpin Pas Perlu Tahu Bezakan Perayaan Budaya, Ritual Agama
SHAH ALAM : Pas perlukan satu garis panduan terperinci mengenai budaya dan agama masyarakat bukan Islam.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, garis panduan yang ada sekarang hanya polisi secara am.
“Perayaan kebudayaan boleh dan perayaan keagamaan tidak boleh. Pas
jelas dalam hal ini. Untuk perayaan keagamaan, Dewan Himpunan Penyokong
Pas akan mewakili Pas. Tetapi ia tidak semudah itu.
“Contohnya bagi Tahun Baharu Cina yang merupakan perayaan kebudayaan
tetapi terdapat masyarakat Cina yang mengadakan upacara sembahyang khas.
Upacara sembahyang sudah tentu Pas tidak boleh terlibat,” katanya.
Iskandar berkata, iktibar daripada isu ini adalah pimpinan dan ahli Pas perlu memahami budaya dan agama masyarakat bukan Islam.
“Kenal yang mana satu budaya dan yang mana satu agama. Kita hidup di
dalam satu masyarakat dan sudah tentu kita perlu mengetahui tentang
agama dan budaya jiran-jiran dan rakan-rakan kita,” katanya dalam satu
kenyataan media, semalam.
Beliau mengulas mengenai tindakan Setiausaha Pas Selangor, Mohd
Khairuddin Othman berpakaian dipercayai menyerupai dewa Cina, Dewa Cao
Guo Jiu pada sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Tionghua di
Wangsa Permai, Kepong.
Iskandar berkata, beliau akan mengarahkan Dewan Ulama Pas Negeri
Selangor dan Lajnah (Biro) Perpaduan Nasional Pas Selangor menghasilkan
kajian dan garis panduan tersebut.
“Garis panduan ini penting bagi kami di Selangor kerana kami berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam sepanjang masa.
“Mereka adalah jiran kami, rakan sekerja kami malah saudara-mara kami
bagi yang berkahwin campur. Ia bukan semata-mata kerana keperluan
politik,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment