Thursday, February 18, 2016
Pemimpin PKR Tolak Azmin Disifatkan ‘Buta’
SHAH ALAM : Tindakan pemimpin akar umbi PKR dari tiga cabang di
negeri ini yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar sifatkan sebagai individu yang
mungkin ‘buta’ dengan proses pelantikan ahli majlis pihak berkuasa
tempatan (PBT).
Demikian reaksi Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei yang
turut menafikan dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha PKR Cabang Kelana
Jaya, S. Murali; Ahli Jawatankuasa PKR Gombak dan Selayang, B. Rajandran
dan aktivis PKR, Badrul Hisham Shaharin semalam yang kononnya Mohamed
Azmin terbabit dalam kronisme, gagal dalam menjalankan urus tadbir serta
mengamalkan politik dendam.
Katanya, dakwaan tersebut dilihat sebagai liar, jahat dan tidak berasas
memandangkan senarai pelantikan ahli majlis PBT bukannya ditentukan oleh
Menteri Besar sebaliknya diputuskan oleh jawatankuasa yang dibentuk
masing-masing oleh PAN, DAP dan PAS manakala PKR sendiri diputuskan oleh
Majlis Pimpinan Negeri.
“Maka tidak ada timbul soal kroni, politik dendam dalam isu pelantikan
ahli majlis PBT. Nama yang Menteri Besar terima adalah nama yang
dihantar oleh semua parti dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), tidak ada
pindaan.
“Mereka (pihak yang membuat dakwaan sedemikian) ini mungkin tidak faham
proses cadangan serta membuat keputusan mengenai pelantikan ahli majlis
PBT. Mungkin mereka lakukan kerana tidak dilantik untuk jawatan
tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Murali, Rajandran dan Badrul Hisham dalam satu sidang akhbar
menyatakan telah hilang kepercayaan kepada Mohamed Azmin selepas Menteri
Besar Selangor itu didakwa tidak mengikut tatakelola perlembagaan
parti, malah melanggar Pekeliling Kerajaan Negeri apabila melantik
kroninya dalam pelantikan ahli majlis PBT.
Dakwa Murali, senarai nama ahli majlis PBT yang dicadangkan oleh
cabang-cabang tertentu seperti ditetapkan oleh PKR telah diketepikan
begitu sahaja oleh Mohamed Azmin hanya disebabkan dendam politik dan
kemudiannya melantik kroni yang bukan merupakan pemastautin.
Malah, dakwaan sedemikian dilaporkan turut dibangkitkan Rajandran
apabila beliau menyatakan Mohamed Azmin semakin galak meletakkan
orangnya sebagai ahli majlis PBT terutama di cabang-cabang PKR negeri
yang menolaknya dalam pemilihan parti lalu.
Sementara itu, Shuhaimi enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai
dakwaan Badrul Hisham yang mempersoalkan keputusan kerajaan negeri
meluluskan projek mengecat pintu gerbang bernilai RM9.8 juta,
menggantikan sebuah kubah masjid yang menelan kos RM32.4 juta serta
pembinaan pejabat pentadbiran masjid sama sehingga mencecah RM33.3 juta
yang dikatakan terlalu tinggi.
“Saya tak nak layan tuduhan dan dakwaan ini. Sebagai rakan lama saya,
saya minta dia (Badrul Hisham) supaya muhasabah diri daripada
membangkitkan perkara yang tidak berasas.
“Sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri ada prosesnya yang
perlu diikuti. Belajarlah memahami proses membuat keputusan,” ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment