Thursday, February 11, 2016

Pemuda UMNO Titiwangsa Anjur Malam Cinta Rasul Siri Ke 3 Ahad Ini

KUALA LUMPUR : Pergerakan Pemuda UMNO bakal menganjurkan Program Malam Cinta Rasul Siri 3 pada Ahad ini, 14 Februari.

Program Malam Cinta Rasul adalah program Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Titiwangsa sejak 2014 untuk mengajak umat Islam mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
12744487_10205711738574335_6227996803584860158_n 
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar HUssin berkata dua tahun lalu program ini telah diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru, kali ini  Program Cinta Rasul 3 diadakan di Masjid Al Akram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur di atas permintaan banyak pihak agar program ini diperluaskan ke masjid-masjid berbeza di dalam Parlimen Titiwangsa.

“Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan di kalangan umat Islam dan dalam masa yang sama menjadikan akhlak dan sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup kita seharian.

“Selain daripada itu, program ini diharapkan mampu untuk menyatukan masyarakat Islam khususnya di dalam usaha menjaga serta memelihara kesucian agama Islam” ujarnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Jelas beliau lagi penganjuran Program Malam Cinta Rasul Siri 3 tahun ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Ahli Jawatankuasa Masjid Al Akram, Kementerian Wilayah Persekutuan, NGO-NGO, pemimpin masyarakat dan masyarakat tempatan malah mendapat persetujuan kehadiran serta sokongan daripada Pas Kawasan keramat dan Titiwangsa.

Tambahnya, Program Malam Cinta Rasul Siri 3 pada tahun ini dianjurkan di luar bulan sambutan Maulidurasul 1437H untuk menanamkan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah SAW adalah sepanjang masa.

Program-program yang dianjurkan sebelum ini mendapat sambutan dan kehadiran yang amat menggalakkan daripada masyarakat dari dalam dan luar Parlimen Titiwangsa merentasi batasan atau ideologi politik.

Program Malam Cinta Rasul Siri 3 akan bermula pada jam 8 pagi dengan pertandingan Azan, pertandingan Qasidah yang disertai hampir 20 kumpulan Qasidah daripada Parlimen Titiwangsa dan Kuiz Sirah Nabi untuk golongan belia sehingga jam 6 petang.

“Program Malam Cinta Rasul Siri 3 ini akan diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, YBM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan penceramah terkenal iaitu YBhg. Al Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin.

“Pihak penganjur mensasarkan kehadiran seramai  5,000 orang bakal bersama-sama membanjiri Masjid Al Akram, Kampung Datuk Keramat pada malam tersebut.

Muslimin dan Muslimat daripada seluruh negara khususnya Lembah Klang yang berkelapangan dijemput untuk hadir memeriahkan Program Malam Cinta Rasul Siri 3 ini di samping kita bersama-sama berselawat ke atas Rasulullah SAW,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment