Tuesday, February 09, 2016
Tahun Baharu Cina Disambut Meriah Dalam Semangat Perpaduan
KUALA LUMPUR, 8 FEBRUARI : Masyarakat Tionghua seluruh negara hari ini
menyambut Tahun Baharu Monyet Api 2016, yang dilihat bakal membawa tuah,
keriangan dan kemakmuran yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Penganjuran rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina itu turut
diadakan di seluruh negara secara sederhana namun tetap meriah dengan
turut diraikan pelbagai kaum dan lapisan masyarkat.
Penganjuran rumah terbuka itu turut menjadi pentas untuk masyarakat
pelbagai kaum di negara ini mengukuhkan lagi perpaduan mereka.
Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama
isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menghadiri majlis rumah terbuka anjuran
MCA di Wisma MCA dan majlis rumah terbuka Gerakan di Menara PGRM.
Mereka turut berpakaian warna merah, bagi sama-sama meraikan sambutan
Tahun Monyet Api yang merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina
bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam kalendar Lunar itu.
Di MELAKA, sambutan Tahun Baharu Cina bermula malam tadi di Jonker
Walk dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung termasuk pelancong
asing yang dihiburkan persembahan kebudayaan tarian singa, warna-warni
tanglung dan pertunjukkan bunga api.
Meskipun beberapa kawasan yang majoriti penduduk Cina dilanda banjir
seperti di Batu Berendam dan Machap, Alor Gajah, namun acara
kunjung-mengunjung yang menjadi tradisi diteruskan dengan penganjuran
rumah terbuka MCA Negeri Melaka di Dewan Pay Fong, Jalan Kubu petang ini
bakal dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Di PERAK, sepasang suami isteri Lin Hon Sing, 76 dan isteri, Loh Poh
Ling, 65, dari Jepalang, Ipoh berasa tahun Monyet pada kali ini
benar-benar membawa ‘ong’ kepada mereka apabila rumah yang diduduki
sejak 50 tahun lalu akan diganti baharu.
Perkara gembira itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry
Abd Kadir yang melawat pasangan warga emas yang tinggal bersama dua
orang anak dan tiga cucu itu dan mereka menzahirkan ucapan terima kasih
kepada kerajaan negeri.
Zambry ketika ditemui pemberita berkata pembinaan rumah itu akan
dibuat oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) mengikut ukuran dan sistem yang
ditetapkan bagi golongan miskin dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di Wisma MCA
berkata masyarakat Cina perlu kembali bersama-sama BN untuk mengukuhkan
lagi usaha memakmurkan negara ini.
“Pada Tahun Monyet ini, kita lebih makmur, permasalahan politik,
ekonomi dapat diselesaikan dan saya harapkan masyarakat Cina akan
kembali kepada (menyokong) kerajaan (BN) katanya.
Liow pula berkata masyarakat Cina tidak perlu risau tentang apa-apa
masalah dalam MCA kerana perkara itu boleh diselesaikan secara dalaman.
“Tidak sepatutnya ada sebarang gerakan untuk memecah-belahkan lagi
parti, parti kini telah bersatu, saya pasti perwakilan-perwakilan mahu
parti kekal bersatu,” katanya.
Menteri Pengangkutan itu berkata selaku presiden MCA, beliau akan
terus berusaha sebaik mungkin untuk memastikan parti kekal bersatu.
“Kami kini menumpukan untuk memantapkan lagi kempen parti dan ia akan
melibatkan semua masyarakat Cina di seluruh negara,” kata Liow yang
lahir pada Tahun Lembu mengikut kalendar Cina.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment