Tuesday, February 09, 2016
UMNO Salur Bantuan Segera Kepada 1,500 Keluarga Mangsa Banjir
MELAKA : UMNO hari ini menyalurkan bantuan segera seperti
makanan dan keperluan asas kepada 1,500 keluarga yang terjejas akibat
banjir di Melaka dan Negeri Sembilan, kata Pengerusi Biro Kebajikannya
Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata bantuan berupa beras, gula, biskut dan air mineral itu
disumbangkan kepada semua mangsa banjir terbabit tanpa mengira latar
belakang atau fahaman politik.
“Berdasarkan tinjauan yang kami lakukan di kedua-dua negeri terjejas
semalam, kami dapati keperluan bagi barangan disampaikan kepada mangsa
banjir terlibat bagi mengurangkan beban mereka.
“Kami menyerahkan bantuan ini kepada UMNO bahagian untuk diselaraskan
agar dapat disampaikan segera kepada golongan sasar,” katanya kepada
pemberita selepas menyerahkan bantuan untuk mangsa banjir di Melaka
kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan sama juga akan diberikan
kepada mangsa banjir di Johor dalam masa terdekat selepas memperoleh
data dan maklumat mereka.
Sehingga pukul 8 pagi tadi sebanyak 4,600 mangsa banjir daripada
1,005 keluarga dipindahkan di Melaka; 662 daripada 166 keluarga di
Negeri Sembilan; dan 126 orang daripada 32 keluarga di Johor.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata kerajaan menzahirkan penghargaan
kepada pelbagai pihak antaranya Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba
dan Penyelamat, RELA, Jabatan Kesihatan dan agensi lain yang memberikan
bantuan, sokongan serta perkhidmatan tanpa mengira masa kepada mangsa
banjir.
“Kami lihat sistem penyampaian dan perkhidmatan jabatan atau pihak
berkuasa yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir ini semakin baik
hasil beberapa pendekatan yang dilakukan berdasarkan bencana banjir
besar yang menimpa negara sebelum ini,” katanya.
Shamsul Anuar meminta mangsa yang terlibat dengan bencana banjir agar
bersabar menghadapi ujian memandangkan kerajaan akan membantu mengikut
keperluan mereka.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment