Wednesday, February 17, 2016
Zahid : PM Najib Miliki Kesabaran 'Luar Biasa'
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tahap
ketenangan dan kesabaran yang 'luar biasa' walaupun ketika berhadapan
dengan cabaran getir sepanjang tempoh karier politiknya selama 40 tahun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam
tempoh 30 tahun mengenali perdana menteri, termasuk sebagai setiausaha
politik beliau, rakan dalam parti dan lebih sebagai adik-beradik, beliau
telah banyak melihat sendiri sifat sabar luar biasa Najib dalam
menangani tekanan.
"Antaranya pada tahun 1987, iaitu ketika baru 17 hari saya menjadi
setiausaha politik beliau apabila tiga exco Pemuda UMNO ditahan di bawah
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk bekas anggota Parlimen
Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali kerana ingin mengadakan perhimpunan
berikutan ada masalah dengan pemimpin MCA.
"Nama beliau (Najib) maybe (mungkin) termasuk dalam senarai individu
yang bakal ditahan. Saya melihat sendiri beliau tenang menjawab soalan
ketika disoal pihak polis. Ia menampakkan kesabaran seorang bakal
pemimpin besar," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran buku
'Najib Razak 40 Years 40 Pictures' di Stesen KL Sentral, Rabu.
Karier politik Najib bermula selepas kematian mengejut ayahandanya
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976, apabila beliau
memenangi kerusi Parlimen Pekan yang disandang allahyarham pada ketika
usianya 22 tahun.
Ahmad Zahid turut berkongsi cerita bagaimana Najib tetap bersabar dan
tenang walaupun berdepan situasi cemas dan membabitkan keselamatan
dirinya apabila pernah jatuh tersungkur di dalam kereta ketika
pemandunya menekan brek secara tiba-tiba kerana mengelak sekumpulan
kambing ketika dalam perjalanan ke Pahang.
"Pada masa itu beliau (Najib) terlelap di dalam kereta. Tindakan pemandu
yang brek kereta secara mengejut menyebabkan beliau tersungkur...saya
jangka dia nak marah, tetapi sebaliknya beliau hanya bertanya berapa
kelajuan kereta.
"Pemandunya jawab kelajuan kereta dalam 200km/j, saya nampak telinganya
dah merah dan jangka dia akan pecat pemandu itu tetapi beliau (Najib)
sebaliknya secara sinis berkata pemandunya memandu umpama pesawat Cessna
nak berlepas, sebelum melelapkan semula matanya," kata Ahmad Zahid yang
turut berada di dalam kenderaan itu.
Ahmad Zahid turut menyifatkan Najib sebagai seorang yang amat prihatin
kerana masih mengingati kesemua bekas ketua Pemuda Umno bahagian dan
mengambil peduli kebajikan setiap seorang daripada mereka sehingga kini.
Mengulas mengenai buku berkenaan, Ahmad Zahid berkata kompilasi gambar
dan artikel dalam buku itu amat sesuai untuk dijadikan rujukan dalam
mengenali perdana menteri dengan lebih dekat.
Buku mewah terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP)
itu bersempena sambutan ulang tahun ke-40 karier Najib dalam politik dan
memaparkan 40 gambar eksklusif Najib, sesetengahnya belum pernah
disiarkan kepada umum.
Koleksi gambar berkenaan mengabadikan detik-detik yang signifikan dalam
karier perdana menteri daripada tarikh penting 21 Feb 1976 apabila
beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan menggantikan bapanya, sehingga
hari ini.
Buku setebal 112 halaman itu juga mengandungi artikel ringkas dan gambar
menarik termasuk detik Najib menjadi menteri besar Pahang, timbalan
menteri serta menteri dalam pelbagai portfolio, termasuk menteri
pertahanan.
Tidak terkecuali koleksi gambar perdana menteri bersama keluarga
khususnya memori indah bersama Allahyarham Tun Razak, termasuk dalam
beberapa paparan menarik yang memperlihatkan persamaan ketara wajah
serta gaya antara kedua-duanya.
Naskhah berharga RM140 itu turut merakam teras kepimpinan Najib yang
berorientasikan kepentingan rakyat iaitu gambar beliau menyelami denyut
nadi masyarakat.
Selain buku tersebut, turut diadakan pameran gambar terpilih perdana
menteri di KL Sentral yang berlangsung mulai hari ini sehingga 21
Februari manakala di Universiti Malaysia Pahang akan berlangsung dari 21
Februari hingga 25 Februari ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment