Wednesday, April 08, 2015
Asas Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh – Najib
8 April 2015, Kuala Lumpur : Asas-asas ekonomi Malaysia kekal kukuh,
disokong oleh kepelbagaian struktur ekonomi negara dan kestabilan
institusi, termasuk sektor perbankan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata asas ekonomi negara yang kukuh itu
diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa seperti Forum Ekonomi Dunia,
Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, yang menyenaraikan Malaysia
menghampiri kedudukan teratas bagi jadual daya saing dan mudah
menjalankan perniagaan.
“Kita telah mengambil langkah-langkah tegas untuk mengawal inflasi,
dan kita telah melihat hasilnya. Walaupun penurunan harga minyak telah
menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah, kadar bukan minyak
berada pada tahap yang sangat rendah.
Inflasi makanan, misalnya, telah susut daripada 3.9 peratus tahun
lepas kepada 2.8 peratus pada bulan lepas,” kata Najib pada majlis makan
malam ulang tahun ke-140 Standard Chartered di sini malam ini.
Sejak 2009, kadar kemiskinan di Malaysia, kata beliau, telah berkurangan daripada 3.8 peratus kepada satu peratus pada 2014.
Beliau berkata sektor kewangan Malaysia merupakan sebahagian besar
daripada kejayaan negara, dan adalah komponen penting kepada ekonomi.
“Terdapat pelbagai keperluan untuk dipenuhi, daripada projek-projek
perindustrian, perbandaran dan infrastruktur, dan kita berbangga dengan
reputasi perkhidmatan kewangan kita bagi integriti dan
kebolehpercayaan,” kata Perdana Menteri.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment