Wednesday, April 08, 2015
Guru KAFA Tuntut Kerajaan Selangor Lunas Janji PRU 13 Naikkan Elaun
8 April 2015, Shah Alam : Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA)
Selangor hari ini menuntut kerajaan negeri melunaskan janji pilihan raya
umumnya dua tahun lepas iaitu menaikkan kadar elaun perkhidmatan
tersebut.
Ekhsan Bukharee Badarul Hisham berkata kerajaan gabungan DAP, PAS dan
PKR dalam manifesto gabungan parti-parti itu semasa pilihan raya umum
ke-13 telah berjanji untuk menaikkan elaun guru KAFA yang hampir 10,000
di negeri ini daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.
Kerajaan negeri perlu mengotakan janji mereka berikutan kos sara
hidup yang semakin meningkat setiap hari sehingga menyebabkan terdapat
golongan guru KAFA yang terpaksa melakukan kerja tambahan bagi menambah
pendapatan, dakwanya.
“Banyak guru KAFA terpaksa bekerja di stesen minyak pada sebelah
malam, menjual kuih muih malah ada yang bekerja sebagai tukang cuci
semata-mata untuk menampung kos sara hidup,”
katanya kepada pemberita
di pintu masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Ekhsan Bukharee mendakwa pendapatan elaun bulanan yang guru KAFA yang
rendah itu turut meletakkan mereka dalam kumpulan isi rumah di bawah
garis kemiskinan negeri Selangor iaitu kadar pendapatan kurang RM3,500
sebulan.
Beliau yang mengajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Kapar dekat
sini, menyatakan guru KAFA di negeri ini masih bertaraf sambilan
berikutan kekosongan jawatan tetap perkhidmatan berkenaan terlalu
terhad.
Sebelum itu, Ekhsan Bukharee dihalang oleh hampir 10 pengawal
keselamatan DUN Selangor daripada memasuki bangunan itu bagi menyerahkan
tuntutan kenaikan elaun tersebut kepada 56 Anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Selangor termasuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam,
Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri
Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi ketika ditemui pemberita menegaskan kerajaan
negeri memang tidak menyediakan sebarang peruntukan berkaitan elaun
tersebut bagi tahun ini.
Katanya, kerajaan negeri masih mengkaji kadar elaun yang sesuai
diberikan supaya setimpal dengan kegiatan dan aktiviti yang diberikan
guru KAFA. berkenaan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment