Thursday, April 09, 2015
Taktik Pembangkang Cuba Melaga-lagakan Kepimpinan UMNO Satu Usaha Sia-Sia
9 April 2015, Kuala Lumpur : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sharkar
Shamsuddin berkata, pembangkang hari ini cuba mengambil kesempatan untuk
melaga-lagakan kepimpinan UMNO dalam isu kritikan Tun Mahathir
baru-baru ini.
Menurut beliau, ini merupakan taktik pembangkang sejak dari dulu lagi
dalam usaha mereka untuk melemahkan perpaduan dan kesatuan dikalangan
kepimpinan UMNO dan beliau yakin bahawa cubaan pembangkang untuk
melaga-lagakan kepimpinan UMNO hari ini adalah satu usaha yang sia-sia.
“Sudah tentulah pembangkang akan cuba menangguk di air yang keruh
untuk melaga-lagakan kepimpinan UMNO khususnya apabila Tun Mahathir
secara terbuka mengkritik dan mempersoalkan isu-isu seperti 1MDB dan
sebagainya.
“Pembangkang seperti yang kita tahu hari ini sedang dalam keadaan
lemah akibat perpecahan dalaman mereka sendiri. Jadi, sudah tentulah
mereka juga mahu melemahkan UMNO dengan menyebarkan pelbagai persepsi
dan perkara yang tidak benar agar rakyat melihat UMNO juga kononnya
dalam keadaan lemah.
“Tetapi pembangkang jangan ingat kita bodoh dan mudah termakan atau
terhasut dengan propaganda dan taktik mereka itu. Kita di dalam UMNO
apabila menghadapi sebarang permasalahan, maka kita akan menghadapi dan
menyelesaikannya dengan cara kita tersendiri,”tegasnya kepada UMNO
Online di sini hari ini.
Di samping itu, beliau turut membidas sikap pembangkang yang amat
gemar menyebarkan fakta-fakta yang tidak benar berhubung UMNO dan juga
kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Sikap pembangkang yang suka menyebarkan tohmahan dan fitnah melalui
media sosial telah membuatkan masyarakat jadi keliru. Selain itu,
tindakan mereka ini juga seolah-olah menggalakkan pengguna media sosial
agar menyebarkan fakta-fakta yang tidak sahih dan fitnah.
“Apa yang dilakukan oleh pembangkang itu adalah sesuatu yang tidak
bermoral dan seolah-olah cuba untuk memperkecilkan nilai-nilai
intelektual rakyat di negara ini.
“Sepatutnya kita mendidik pengguna media sosial agar lebih rasional
dan berintergriti dalam menerima dan menyebarkan sebarang maklumat
kerana boleh jadi maklumat yang sampai itu tidak betul dan hanya fitnah
semata-mata,” ujarnya.
Sementara itu, berhubung isu kritikan Tun Mahathir kepada Perdana
Menteri, beliau berkata bahawa Tun Mahathir punyai hak untuk bersuara
tentang sebarang kemusykilan berhubung pendekatan kerajaan hari ini.
“Kita hormati Tun sebagai seorang negarawan dan kita hormati hak
beliau untuk menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan. Dan apa yang
dipersoalkan oleh Tun itu sebenarnya telah pun dijawab oleb kerajaan dan
PM sendiri.
“Dalam isu ini, saya dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain termasuk
pemimpin parti komponen di dalam BN akan tetap terus memberikan sokongan
kepada Datuk Seri Najib dan percaya bahawa beliau akan melakukan yang
terbaik buat rakyat dan negara ini,”ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment