Monday, April 13, 2015
BN Mampu Cipta Sejarah Pada PRK Permatang Pauh – Muhyiddin
12 April 2015, Bukit Mertajam : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh sebagai satu
signifikan besar untuk membuktikan Barisan Nasional (BN) terus teguh
berdiri membela nasib penduduk di kawasan itu.
Beliau berkata parti telah mengadakan pertemuan dan perbincangan
serius tentang apa yang harus dilakukan supaya pilihan raya kecil kali
ini memberi makna dan melakar sejarah baharu di Permatang Pauh.
“Di mana tekad dan azam untuk melihat Permatang Pauh kembali semula
kepada BN. Ada pelbagai pihak melihat UMNO dan BN sebagai parti
‘underdog’. Ini bermakna seolah-olah kita berhadapan dalam situasi yang
agak sukar dan mencabar. Tetapi tiada apa yang mustahil di dalam
politik.
Perjuangan ini harus diperjuangkan bermati-matian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas
bersama kepimpinan UMNO Bahagian, komponen BN, ketua-ketua Cawangan dan
ketua-ketua pusat daerah mengundi (PDM) Parlimen Permatang Pauh, di
Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan
pemimpin tertinggi parti komponen BN negeri.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN perlu bekerja
lebih kuat dan bergerak dalam satu pasukan untuk mencapai kemenangan di
Permatang Pauh.
“…untuk mendaki puncak gunung bermakna kita harus bekerja dengan
lebih kuat. Ini terbukti pada pilihan raya umum yang lepas kita berjaya
mengurangkan jumlah undi. Hampir 40 peratus mengundi kepada calon BN,”
katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera parti untuk memberi tumpuan kepada
pengundi dalam usaha memberi penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu
berbangkit.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7
Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3
Mei.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon
anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota
keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang
kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment