Monday, April 13, 2015

Status NGO Hanya Wayang, PasMa Memang Diwujudkan Untuk Jadi Parti Politik

13 April 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kasim berkata beliau sedikit pun tidak terkejut dengan kesediaan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) untuk mengubah statusnya kepada sebuah parti politik.

Malah menurut beliau perkara tersebut sudah boleh dijangkakan sejurus penubuhannya pada satu ketika dahulu walaupun ianya adalah atas dasar Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sepertimana yang diwar-warkan.

“Bukan perkara pelik pun soal ini kerana sudah pasti ianya adalah pengganti kepada Pas di dalam pakatan pembangkang sekiranya parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil keputusan meninggalkan pakatan bersama sekutunya Dap serta PKR gara-gara isu terkini yang menghantui 
pakatan terbabit.

pasma 1

“Langkah itu juga menunjukkan bahawa asakan daripada golongan ulama menjelangnya pemilihan Pas makin ketara dan golongan yang tidak sehaluan mula lemas dan mencari platform lain untuk bergerak bagi menjayakan agenda mereka.

“Malah mereka juga mungkin sedar dan tahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula dapat membaca pergerakan mereka sebelum ini. Justeru alang-alang wayang politik sudah pecah tembelang, itulah langkah sebaik mungkin,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan Pasma sedia mempertimbangkan untuk mengubah statusnya kepada sebuah parti politik. Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, ia berikutan kemelut dalam PR semakin kritikal.

Mengulas lebih lanjut Ruslan Kassim seterusnya menambah perkembangan itu juga memperlihatkan bibit-bibit perpecahan dalam Pas makin parah dan cukup ketara tanpa dapat diselindungkan lagi dengan apa jua cerita mahu pun wajah-wajah lain.

“Tutuplah dengan apa sekali pun keadaan Pas pada dan ketika ini cukup parah. Kehadiran PasMa dalam politik dalam apa jua alasan pun cukup mudah untuk dibaca. Yang pasti pengganti Pas di dalam pakatan sudah ada sekiranya PasMa benar-benar menjadi sebuah pati politik kelak” ujarnya.  

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment