Monday, April 13, 2015
Guna Ikon Tok Janggut Jelas Satu Cubaan Kelirukan Rakyat – Dr Mohd Fuad
10 April 2015, Kuala Lumpur : Tindakan pihak pembangkang yang cuba
menjadikan tokoh pejuang Melayu, Haji Hassan bin Panglima Mat Munas atau
Tok Janggut sebagai ikon bagi perhimpunan menentang cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini, disifatkan sebagai satu taktik untuk
mempengaruhi rakyat bagi menjayakan agenda mereka, demikian jelas
pensyarah Geo Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr.
Mohd Fuad Mat Jali.
Menurut beliau, rakyat perlu faham bahawa penentangan Tok Janggut
berhubung cukai yang dikutip oleh British dulu amat berbeza keadaannya
dengan perlaksanaan cukai GST yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.
“Saya lihat tindakan pihak pembangkang yang mempergunakan nama Tok
Janggut sebagai ikon hanyalah sebagai satu taktik mereka untuk mencari
pengaruh di kalangan rakyat berhubung isu GST ini.
“Ini kerana perjuangan Tok Janggut menentang cukai yang dikenakan
oleh British terhadap orang Melayu pada ketika itu adalah amat berbeza
sekali dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini. Cukai yang
dikenakan oleh British terhadap orang Melayu dulu amat membebankan,
memandangkan rata-rata rakyat kita hidup dalam keadaan miskin pada
ketika itu.
“Malah, cukai yang dikutip oleh British itu tidak pula dipulangkan
kepada rakyat Tanah Melayu pada zaman itu tetapi semua hasil cukai
dibawa pulang ke negara mereka. Maka dengan sebab itulah, Tok Janggut
menentang pelaksanaan cukai tersebut.
“Pembangkang jangan cuba untuk memutar belitkan sejarah dengan
mengaitkan perjuangan Tok Janggut dengan perjuangan mereka yang
semata-mata demi keuntungan politik mereka,” tegasnya kepada UMNO-Online
di sini hari ini.
Jelasnya lagi, keadaan di zaman Tok Janggut jika mahu dibandingkan
dengan keadaan zaman ini amat jauh berbeza di mana di zaman itu Tanah
Melayu sedang dijajah manakala hari ini, Malaysia sudah merdeka dan
diperintah oleh rakyat negara ini sendiri.
“Hari ini, apabila kerajaan mengutip cukai, kita sebagai rakyat tahu
bahawa kerajaan akan menggunakan hasil cukai itu untuk membantu rakyat
semula. Jadi jelas, ianya amat berbeza keadaan cukai yang dikutip oleh
British dan cukai yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.
“Bahkan, pelaksanaan GST ini hanyalah satu penggantian sistem
percukaian lama, di mana sebelum ini pun kita sudah dikenakan cukai.
Ianya bukan cukai baru atau tambahan kepada jumlah cukai yang sudah
sedia ada sebelum ini.
“Apa yang dilakukan oleh pembangkang yang mempergunakan nama tokoh
pejuang Melayu itu bagi saya, hanyalah satu usaha untuk menghalalkan
tindakan mereka itu sedangkan hakikatnya mereka melakukan semua itu
adalah semata-mata demi keuntungan politik mereka semata-mata,”
jelasnya.
Beliau seterusnya menyeru rakyat, khususnya anak muda agar tidak
terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang kini menjadikan tokoh
pejuang itu sebagai ikon penentangan pelaksanaan GST di negara ini.
“Saya minta rakyat agar kaji balik sejarah penentangan Tok Janggut
terhadap cukai yang dikenakan oleh British kepada rakyat di Tanah Melayu
dulu. Bagaimana cara mereka mengutip cukai, cukai apa yang dikenakan
kepada rakyat dan apakah hasil cukai itu dipulangkan kepada rakyat atau
tidak.
“Fakta-fakta sejarah ini perlu kita ketahu supaya kita tidak
tergolong di dalam golongan yang jahil dan agar kita tidak terikut-ikut
dengan sebarang provokasi secara membuta tuli tanpa ilmu,” akhiri
beliau.
Semalam, penganjur perhimpunan 1 Mei, Mohamad Sabu berkata, nama Tok
Janggut menjadi ikon perhimpunan anti-GST kali ini demi semangat yang
dibawa oleh pejuang Melayu itu serta menjadikan slogan
#KamiAdalahTokJanggut sebagai tema perhimpunan tersebut.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment