Kita dah janji nak buat satu juta rumah mampu dimiliki dalam tempoh lima tahun. Jadi ini semua komitmen kerajaan yang kita sedang laksanakan.
Friday, April 10, 2015
Transkrip Penuh Temubual Khas Bersama Perdana Menteri Dalam Soal Jawab TV3 Edisi Khas
Transkrip penuh temubual khas bersama Perdana Menteri
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab
pelbagai soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai
pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan
negara, Najib menjawab segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap
pentadbiran beliau, meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai
Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes
pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan
Keganasan) dan prospek ekonomi negara.
Beliau mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan Ahmir dalam
program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang turut disiarkan menerusi Astro
AWANI malam ini.
Berikut adalah transkrip penuh wawancara itu:
MUKADIMAH HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang
mengkritik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu
pengurusan kewangan dan pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya
Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan
Barisan Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang
sekiranya Yang Amat Berhormat terus memimpin. Untuk menjawab
persoalan-persoalan ini, saya alu-alukan kedatangan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
SOALAN: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa
simpati kami kepada Datuk Seri dan juga warga kerja Pejabat Perdana
Menteri atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, Tan Sri
Jamaluddin Jarjis, dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan
Datuk Seri, Datuk Azlin Alias dan Datuk Mohd Poad (Jelani). Bagaimana
Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berdukacita ini?
NAJIB: Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan tragedi bagi
Pejabat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu
sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran
negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan
yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.
Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah
menjalankan tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan
Datuk Poad sebagai setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan
baik.
Namun, walaupun saya tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan mereka
itu menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin
negara dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala
cita-cita dan wawasan negara.
SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula
dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita
hadapi secara global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat
usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara
ke tahap yang lebih tinggi?
NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan
kejatuhan harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke
paras separuh daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana
negara pengeluar minyak terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada
kedudukan fiskal negara, supaya langkah-langkah yang lebih proaktif kita
dapat menjamin bahawa fundamental ekonomi negara kita masih kukuh.
Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi
fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai
kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi.
Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan
pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan rakyat
Malaysia terbela.
SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha
yang dibuat kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam pada
itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas
hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri.
Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat sejak
akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat
kritikan yang datang ini?
NAJIB: Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati
rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik
kepimpinan saya, pentadbiran saya.
Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara
bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap
kritikan itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu
membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan
saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya
nak tegaskan.
Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.
SOALAN: Kita ambil contoh misal kata pengenalan GST pada 1 April.
Ada pihak yang beranggapan bahawa dari segi timing GST diperkenal itu
kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi
kesan kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk
memperkenalkan GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor
yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan
GST; harga minyak dah jatuh.
Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih
rendah dari masa-masa sebelumnya. Itu satu…rakyat mendapat faedah
daripada penurunan harga minyak dunia. Yang kedua, kerajaan telah
membuat persediaan yang begitu lama.
Soal GST ini sejak tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu. Jadi kita
laksanakan daripada makronya sesuai masanya sebab kerajaan perlu kepada
punca kewangan tambahan sebab hasil dividen daripada Petronas akan
berkurangan kerana harga minyak dah jatuh.
Jadi amat sesuai kita perkenal sekarang dan kita juga telah membuat
satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan keperluan rakyat yang
di-zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000. Tak pernah
mana-mana negara yang membuat cara sedemikian dan ini bukan cukai
tambahan.
Ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang
selain daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita
bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga per cent. Dan
kita kurangkan juga cukai korporat, juga satu per cent. Jadi pakej, jika
kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat.
Kerana kita nak pastikan pelaksanaannya, ini pokok, pelaksanaannya
dari segi penguatkuasaan. Kalau ada pihak komplen, dia bukan pengenalan
GST sebenarnya, tetapi pihak peniaga yang mengambil kesempatan.
Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua.
Ada yang telah mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan
dikurangkan. Misalnya, harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian
supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga, ada yang kedai kain
cakap mereka akan absorb GST dan sebagainya.
Jadi (apa yang) kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.
SOALAN: Kita faham bahawa barangan harian yang menjadi keutamaan
rakyat Malaysia dikecualikan GST. Tapi ada juga dalam kalangan rakyat
yang membangkitkan soal apabila mereka pergi kedai makan, makanan orang
Malaysia seperti nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik juga
dikenakan GST.
Kalau nak beli kicap tomato, sos Maggi misalnya pun dikenakan GST.
Jadi mereka bertanya bagaimana GST ini tidak membebankan mereka. Keluar
hari-hari makan di kedai kopi pun dikenakan GST.
NAJIB: Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor
kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan
Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada
kuasa.Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli
barangan ataupun kedai-kedai makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai
yang tak bertanggungjawab yang sengaja menaikkan harga, lepas itu
menyalahkan pihak kerajaan.
Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai
alternatif lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan
pihak kastam. Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka
yang menggeksploitasikan keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli.
SOALAN: Saya nak kaitkan kembali antara BR1M dan GST seperti yang
disuarakan Tun Mahathir juga bahawa masa yang tidak sesuai mengikut
pandangan beliau, tidak semestinya betul. Tidak sesuai untuk
dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan langkah yang berkesan untuk
diambil oleh kerajaan.
NAJIB: BR1M bukan handout. Sebenarkan BR1M merupakan social safety
net yang telah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri.
Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk
Bank Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan sebagainya. Bila mereka
bincang, pada mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi pukal.
Maknanya subsidi daripada minyak kita nak kurangkan kerana banyak
ketirisan. Banyak pembaziran. Banyak pihak yang tak layak dapat subsidi
mendapat faedah subsidi. Jadi kita kata, kita kurangkan. Tapi kita kena
kurangkan berperingkat-peringkat.
Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat
perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan
balik kepada rakyat. Jadi jika rakyat terpaksa membayar harga minyak
lebih, mereka adalah, orang kata timbal balas dalam BR1M bagi mereka
yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sekarang kita tambah sikit kepada
RM4,000, tapi RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafahnya
sebenarnya.
Soal social safety net yang bukan saja Malaysia, tapi banyak negara
lain mengamalkan sistem social safety net dalam pelbagai kaedah.
SOALAN: Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada sebut kes
Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur bahawa mahkamah telah buat
keputusan kes ini…sudahpun berlalu.
Tapi ada pula timbul kritikan
daripada Tun Mahathir yang kata siapa yang beri arahan kepada pegawai
polis terbabit untuk membunuh Altantuya. Terasa perkara ini pelik sebab
kes itu sudah berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini?
NAJIB: Ini cerita 2008…dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan
sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid
di Permatang Pauh pada 2008…bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan
saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Dan pihak polis telah jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak
Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri dah laporkan,
dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat.
Dan tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal
Altantuya. Tak ada langsung…tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada
saksi dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke
Federal Court. Apakah kita nak persoal integriti mahkamah kita yang kita
pertahankan sebelum ini?
SOALAN: Difahamkan Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah bertemu
Tun Mahathir sendiri mengenai beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan
Datuk Seri kes Altantuya ini?
NAJIB: Tak secara langsung tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam
perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya
dalam (kes) Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama
sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya
tetap hormat dia misalnya, walaupun saya sebagai perdana menteri. Tapi
saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang rumah saya. Tapi
macam mana pun bila kita bincang saya perlu buat keputusan sebagai
perdana menteri.
SOALAN: Dia (Tun Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan memberi penerangan tetapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?
NAJIB: Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah
beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta
saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan
atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua
individu…agak sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi macam mana pun
akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Dan
kebanyakan perkara ini saya bawa dalam Kabinet dan Kabinet akan putuskan
perkara ini.
SOALAN: Datuk Seri, saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada
pihak-pihak yang mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi beberapa
personaliti tertentu amatlah meragukan sekali. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Saya nak jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan yang
kita sifatkan sebuah investment company. Bermula dengan capital hanya
RM1 juta saja berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita
beri macam-macam suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja.
Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam tapi
aset-aset yang telah pun diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini
saya nak tekankan… melebihi liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada
1MDB untuk membangunkan atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat
melunaskan hutang-hutangnya. Kita boleh pertikai business model, saya
sedia dengar pandangan-pandangan berbeza tapi apa saya nak tegaskan di
sini, saya tak condone, tak boleh terima kalau ada apa-apa salah guna
kuasa dalam 1MDB. Misalnya duit dilesapkan…dan sebagainya.
Sebab itu bila Deloitte sebagai auditor telah sahkan auditnya, saya
masih tak puas hati.
Saya dah bawa cadangan dalam Kabinet supaya Ketua
Audit Negara menyemak balik secara terperinci. Dan setelah Ketua Audit
Negara menyemak, saya minta PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara)
teliti pula. Dalam PAC ada pembangkang, mereka boleh bincang laporan
audit.
Apa saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan…bagi tempoh. Sebab
kalau kita dakwa, ada banyak beza kalau kata duit dilesap atau pinjam,
rizab. Saya juga minta Ketua Audit sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna
untuk buat filem umpamanya. Saya nak tahu dan ini antara perkara-perkara
yang mesti ditentukan laporan ketua audit dan mesti disahkan atau
sebaliknya oleh PAC.
SOALAN: Ada tempoh masa yang diberi?
NAJIB: Kita tak beri tempoh tapi mereka mesti buat seberapa segera
yang boleh. Siasatan yang rapi seberapa segera yang boleh sebab saya nak
rakyat tahu sebab saya telah beri jaminan bahawa dalam urusan 1MDB ini,
kalau ada salah guna kuasa, maka kita takkan pertahankan sesiapa.
SOALAN: Ada juga pihak yang bertanya wang yang dipindah dari Cayman
Island ke Singapura tapi tak dibawa balik ke Malaysia. Mengapa Datuk
Seri?
NAJIB: Pertamanya duit itu tidak di Cayman Island. Cayman Island ini
merupakan pendaftaran saja…Banyak syarikat, ada 200 syarikat Malaysia
ada Cayman Island account.
Tak ada salahnya ada Cayman Island account.
Mereka simpan duit ini di luar sebab mereka ada hutang luar. Daripada
mereka bawa balik ke Malaysia elok mereka simpan di luar sebab boleh
dapat keuntungan daripada Forex dan sebagainya. Masa akan menentukan
tapi dalam masa tertentu duit itu akan dibawa balik ke Malaysia.
SOALAN: Jadi tak ada kaitan dengan syarat-syarat Bank Negara untuk dibawa balik wang itu ke Malaysia?
NAJIB: Sistem kita bebas. Apa-apa kita nak buat pun dia dengan
pengesahan daripada Bank Negara. Jadi Bank Negara tahu movement of fund
dan sebagainya.
SOALAN: Adakah Datuk Seri pernah jelaskan perkara 1MDB kepada Tun Mahathir?
NAJIB: Saya secara langsung tidak (ada) sebab dia tak bangkit secara
terus dengan saya. Tapi saya tahu Lembaga Pengarah 1MDB dan ketua
eksekutif 1MDB ada jumpa dengan beliau terangkan keadaaan.
SOALAN: Adakah Datuk Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih
transparent dalam urus niaga akan datang supaya rakyat dapat maklumat
secukupnya?
NAJIB: Ya, begitulah dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya
harap sedemikian. Begitu juga kita umumkan program rationalisation…kita
sekarang dalam langkah pelaksanaan rationalisation 1MDB. Kita perlu
tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah disediakan dan kita dalam
peringkat pelaksanaan.
SOALAN: Tadi Datuk Seri sebut pembikinan filem yang dituduh daripada
1MDB. Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan itu. Apa
implikasinya?
NAJIB: Sebab ada dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu
mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga tapi saya nak
Ketua Audit mengesahkan perkara ini.
SOALAN: Saya nak beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu ketika
dahulu Datuk Seri sendiri menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan
dikaji semula. Tapi baru-baru ini keputusan telah dibuat bahawa Akta
Hasutan akan kekal. Jadi banyak pihak yang mengkritik Datuk Seri atas
keputusan yang berubah-ubah ini. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Sebenarnya bila saya kata Akta Hasutan akan dikaji semula ia
tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu
bentuk dakwaan yang boleh disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan
dalam akta baharu.
Cuma nama Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh
dianggap sebagai controversial sebab asal usul ‘sedition’ itu dikaitkan
dengan peristiwa-peristiwa yang dahulu. Jadi kita nak melihat dalam
sudut lebih positif. Ia misalnya air dalam gelas. Separuh kosong kah
separuh penuh. Itu sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita ini negara
yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang
yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan,
kenyataan dan apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang
boleh menghasut rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan.
Perbalahan dan rusuhan.
Dan ini mempertahankan semua kaum, semua kepercayaan bukan sahaja
orang Islam, orang Melayu tetapi yang bukan Islam, yang bukan Melayu
juga dipertahankan. Supaya negara kita ini aman. Kalau kita tidak sentuh
soal agama, tidak menghina agama orang lain, tidak menidakkan soal
kewarganegaraan orang lain, tidak mengatakan orang itu pendatang dan
sebagainya, amanlah negara kita.
Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Sebab
dalam pindaan akta ini kita kata peruntukan mengkritik kerajaan itu
kita mansuhkan. Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak
yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Sedition Act yang
sedia ada. Kita dalam pindaan Sedition Act kita mansuhkan. Mereka boleh
kritik kerajaan. Tetapi kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh
menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya.
Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya itu
tidak salah.
Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita bahawa sistem
demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana
menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan
negara kita. Kalau tiada keamanan, keselamatan negara, tiada apa guna
bagi kita semua.
SOALAN: Ada juga kalangan parti pembangkang yang beranggapan bahawa
Akta Hasutan ini sebenarnya ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini
benar?
NAJIB: Tidak benar. Mereka pembangkang mereka boleh kata, mereka
boleh kritik kerajaan, mereka boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu
tukar kerajaan waktu pilihan raya, mereka boleh kata. Tentu sekali ini
amalan demokorasi. Yang kita tidak mahu kalau mereka mengeksploit
soal-soal agama, soal-soal kaum yang menghasut rakyat. Kalau mereka
menghasut rakyat, rakyat marah, timbul perbalahan, kesudahannya berlaku
rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita?
Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu
elakkan.
SOALAN: Akta Hasutan mungkin terguna pakai untuk masalah yang wujud
di dalam negara. Tetapi sekarang ini muncul pula ancaman terbaharu
kepada negara iaitu ancaman pengikut-pengikut IS. Jadi bagaimanakah
Datuk Seri melihat kerajaan akan menangani perkara ini daripada
berlarutan?
NAJIB: Itu sebab kita memperkenalkan akta baharu ini. Supaya kita
boleh bertindak dengan kekuasaan baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada
soal violence extremism. Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan,
bakal menggunakan kekerasan. Saya tahu yang dipertikaikan ia merupakan
preventive detention, ada element preventive detention. Tetapi ia tidak
boleh disamakan dengan ISA sebab kuasa menahan ini kuasa badan khas yang
terdiri daripada mungkin hakim atau bekas hakim, orang yang ada
kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan eksekutif.
Jadi kalau kita nak tahan orang pun, kita mesti memberi bukti yang
boleh meyakinkan badan khas ini dan mereka boleh membuat keputusan.
Kalau kita tunggu sesuatu kejadian berlaku, katalah sebuah bom telah
diletupkan, tentu kesan yang cukup dahsyat, implikasinya cukup buruk.
Jadi sebelum sesuatu itu berlaku, kita ambil tindakan di bawah akta yang
baharu ini tetapi kita mesti ada bukti yang cukup. Misalnya kita sudah
tahu dia sudah ada bom, nak buat bom, tunggu masa sahaja nak bergerak,
nak bertindak, masa itu kita boleh ambil tindakan di bawah akta yang
baharu.
SOALAN: Dalam Datuk Seri menangani isu-isu panas kebelakangan ini,
banyak yang menyentuh kerajaan, mengkritik kerajaan dan sebagainya.
Bagaimanakah sokongan daripada anggota Kabinet dan juga parti komponen
Barisan Nasional dan UMNO sendiri?
NAJIB: Alhamdulillah setakat ini sokongannya sangat baik. Banyak
pihak telah membuat kenyataan secara terbuka dari kalangan anggota
Kabinet, parti-parti komponen, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Yang
Berhormat dan sebagainya. Yang sebelum tadi, yang petang tadi Wanita
UMNO buat kenyataan dan sebagainya. Jadi saya melihat parti ada
bersama-sama saya, di belakang saya untuk terus memimpin parti dan
negara. Tapi seperti mana yang saya kata, bahawa saya boleh menerima
kritikan. Tetapi kesudahannya saya bukan bertanggungjawab kepada
mana-mana individu, saya bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia dan
parti.
SOALAN: Bagaimana pula dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang
mengatakan bahawa sekiranya Datuk Seri terus memimpin negara, UMNO dan
Barisan Nasional akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.
NAJIB: Itu pendapat peribadi Tun Dr Mahathir. Apa yang kita dalam
parti merasakan, bahawa soal kejayaan kepada UMNO dan BN bergantung
kepada kekuatan kita. Kekuatan kita hanya akan menjadi suatu kejayaan
kalau kita padu dalam parti. Kalau kita padu dan tidak bercanggah sesama
kita, tiada unsur-unsur sabotaj dan sebagainya, saya yakin kita boleh
menang dalam PRU ke-14 yang akan datang.
SOALAN: Tapi kritikan-kritikan ini nampaknya berterusan Datuk Seri.
Bagaimana Datuk Seri keep on moving forward dengan kritikan-kritikan
yang tidak pernah sunyi ini dan mungkin tidak akan berakhir?
NAJIB: Kritikan pada kali ini lebih daripada biasa. Lebih sengit
daripada biasa, tapi saya kena terimalah ini asam garam politk yang mana
bukan semua keadaan, wujud keadaan yang tenang dan selesa sepanjang
masa. Sebaliknya kritikan ini saya terima walaupun pedih. Tetapi pokok
pangkalnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Selagi rakyat
dan parti memberi mandat kepada saya, meletakkan amanah, saya tetap akan
teruskan kepimpinan negara dan parti.
SOALAN: Ada juga kalangan berpendapat perkara yang dibuat nampak
jelas oleh kerajaan ialah dari segi pemberian BRIM. Itu nampak ada
kalangan yang berpendapat sebenarnya tidak ada perkara projek-projek
lain yang benar-benar bagi manfaat kepada kepada rakyat. Adakah dakwaan
ini benar?
NAJIB: Tidak. Kalau kita lihat pencapaian negara kita pertamanya
kita mulakan dengan data-data mikro misalnya kalau kita lihat kadar
pertumbuhan tahun sudah, kita capai kadar pertumbuhan enam peratus,
antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Kedua, kalau kita lihat dari segi pertambahan kekayaan GNI sejak
2009 sampai 2014 bertambah 47 peratus. Itu merupakan satu kadar
peningkatan GNI yang begitu tinggi. Kadar apa nama, kemiskinan misalnya,
sekarang ini tahapnya satu peratus sahaja.
Kita telah mewujudkan 1.5 juta pekerjaan misalnya dan kita telah
beri peluang untuk ramai pihak mencapai kelulusan dan dah menjadi middle
class dan sebagainya dan kalau kita lihat dari segi on the ground dan
keadaan sebenarnya, bekalan api, elektrik, jalan asas terutama sekali
untuk Sabah dan Sarawak,banyak yang telah kita tunaikan dan
program-program yang kita jalankan misalnya di bawah 1Azam,
latihan-latihan keusahawanan, bantuan kepada SME (perusahaan kecil dan
sederhana) dan sebagainya untuk peniaga-peniaga dan sebagainya.
Banyak yang telah kita lakukan. Ini semua kita telah rakamkan dalam
buku-buku, yang telah kita maktubkan dalam risalah-risalah dan
sebagainya, dalam surat khabar. Jadi nak kata kita tak buat banyak itu,
tidak benar.
Sebenarnya kita dah buat terlalu banyak termasuk projek seperti MRT
dan sebagainya. Yang terbaharu saya melancarkan Pan Borneo Highway yang
ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat Sarawak. Hari ini mula
pelaksanaannya.
Jadi kalau kita lihat segala-galanya kita boleh tengok di Malaysia ini memang banyak perubahan dilakukan.
SOALAN: Projek perumahan rakyat?
NAJIB: Banyak ya, termasuk projek perumahan rakyat. Semalam saya
lancarkan projek perumahan untuk penjawat-penjawat awam. 1,500 penjawat
awam akan menerima rumah mampu dimiliki oleh mereka.
Kita dah janji nak buat satu juta rumah mampu dimiliki dalam tempoh lima tahun. Jadi ini semua komitmen kerajaan yang kita sedang laksanakan.
SOALAN: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan kerja-kerja untuk membangunkan semula kediaman mangsa-mangsa banjir di Kelantan?
NAJIB: Setakat ini saya fikir banyak yang boleh kita lakukan lagi.
Saya tidak begitu puas hati sebenarnya. Saya ingat, saya rasa perlu lagi
ditingkatkan.
Saya harap kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri
inilah dapat diperkukuhkan lagi terutama sekali nak beri tanah. Sebab
tanah di bawah kerajaan negeri. Kalau kita ada tanah, peruntukan
kewangan dah bersedia, dan kita boleh serahkan untuk dibina rumah-rumah
baharu.
SOALAN: Kita dapati tahun ini tahun ke-6 Datuk Seri sebagai PM,
apakah agaknya perancangan Datuk Seri seterusnya, the way forward for
Malaysia?
NAJIB: Langkah ke hadapan, the way forward kita telah jelaskan dan
paparkan kepada rakyat. Sampai kepada tahun 2020 ini kita nak Malaysia
menjelma sebagai advanced economy, sebagai negara maju. Dalam pada itu,
kita tahu bila kita isytihar Malaysia sebagai negara maju, Insya-Allah,
bukan semua rakyat akan merasakan mereka sebahagian daripada ekonomi
maju sebab kita gunakan penilaian atau kriteria average income.
Ada yang
merasakan kedudukan mereka tidak begitu besar perubahannya.
Tambah-tambah lagi kalau harga komoditi getah masih pada paras rendah,
harga sawit dan sebagainya. Kelompok ini kita perlu lihat bagaimana kita
boleh beri tumpuan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Saya akan
melihat pada Rancangan Malaysia ke-11, apa yang boleh kita masukkan
sebagai program-program tambahan, misalnya latihan kemahiran, latihan
teknikal, keusahawanan. Ini kita mesti beri tumpuan sebab boleh beri
perubahan besar kepada pendapatan rakyat. Selepas tahun 2020 kita akan
lihat semula. Tapi our immediate goal dalam masa terdekat ini, dalam
masa lima tahun akan datang semestinya untuk jayakan wawasan negara.
SOALAN: Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan langkah yang kita
ambil agar idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir itu
terus kita capai?
NAJIB: Saya yakin kalau kadar pertumbuhan dapat kita pastikan dalam
lingkungan lima peratus setahun. Kalau kita lihat dari segi per kapita
income, Insya-Allah boleh kita dimartabatkan sebuah negara maju
Insya-Allah menjelang 2020. Tetapi saya juga sedar bahawa ini average
income. Kita mesti sedar ada kelompok yang mana pendapatan bawah average
yang merasakan mungkin kedudukan mereka tidak sebahagian daripada
negara maju. Inilah yang mesti kita beri tumpuan, supaya pendapatan
kelompok yang bawah 40 peratus average ini mesti kita beri tumpuan yang
lebih.
SOALAN: Ada juga pihak yang berpendapat kritikan-kritikan yang
datang daripada pihak, terutama sekali daripada Tun Dr Mahathir tidak
akan berhenti. Bagaimana Datuk Seri bercadang menangani perkara-perkara
ini dalam perjalanan kita menuju Wawasan 2020. Adakah ia memberi kesan
kepada Datuk Seri sebagai pemimpin negara?
NAJIB: Saya merasakan bahawa apa yang patut saya lakukan adalah
teruskan sikap saya. Maknanya saya terbuka. Setiap kritikan itu saya
pertimbang dan saya lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran
saya. Saya tak pernah kata bahawa saya tak buat kesilapan. Saya akui
bahawa setiap manusia itu bukanlah perfect. Tak ada manusia yang tak
buat kesilapan. Jadi maknanya saya bersedia dan serius lakukan
penambahbaikan. Tetapi kalaulah saya merasakan bahawa apa yang saya
lakukan itu dapat sokongan parti dan rakyat maka saya akan teruskan
dasar-dasar saya dan keputusan saya. Sebab pada hakikatnya, penentuan
hala tuju negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu, tapi
ditentukan rakyat dan parti.
SOALAN: Jadi, kedudukan Datuk Seri sebagai pemimpin parti, ditentukan oleh ahli-ahli parti sendiri?
NAJIB: Ahli parti dan kesudahan pada rakyat. Dia ada dua proses.
Maknanya antara pilihan raya, parti akan tentukan. Tetapi waktu pilihan
raya, rakyat akan membuat kata putus.
SOALAN: Saya nak tanya Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagikan
masa dari segi weightage, wajaran antara hal-hal keluarga, dengan
hal-hal negara. Bagaimana Datuk Seri mengimbangi perkara ini?
NAJIB: Setiap individu ada caranya. Tetapi bila sudah jadi Perdana
Menteri ini, masa untuk keluarga dan masa untuk diri sendiri, orang kata
private time itu memang amat terbatas. Tetapi saya cubalah untuk
mengimbangi antara kerja-kerja untuk parti, untuk rakyat, untuk
kerajaan. Di samping itu kalau ada masa terluang, saya cuba bersama-sama
dengan keluarga, dan juga membuat latihan riadah umpamanya, exercise
itu mustahak. Dan kewajipan kita kepada Allah kita mesti tunaikan.
SOALAN: Pada pandangan Datuk Seri, apakah faktor-faktor yang
menyumbang kepada perpecahan dan kejatuhan sama ada dari segi parti atau
sesuatu kerajaan?
NAJIB: Kalau berlaku sesuatu krisis dalaman parti, kalau ada parti
itu berpecah misalnya kepada dua tiga kumpulan dan kita hilang
kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara dan parti, maka parti
akan lemah. Bila parti lemah dari dalam, parti boleh tewas. Saya selalu
mengingatkan ahli-ahli parti bahawa tak mungkin parti kalah kerana
ancaman asakan dari luar tetapi parti boleh kalah kerana perpecahan dari
dalam.
SOALAN: Bagaimana pula peringkat negara, untuk keseluruhan rakyat Malaysia?
NAJIB: Saya kena hadapi. Zaman sekarang zaman persepsi sebenarnya,
bukan realiti. Dengan pengaruh sosial media yang begitu berleluasa hari
ini. Zaman Tun Mahathir tak ada sosial media. Zaman sekarang ini sosial
media berperanan besar. Jadi inilah satu yang terpaksa kita buat
pengubahsuaian dari segi pendekatan supaya menangani persepsi.
Persepsi
ini jika tidak ditangani boleh menjadi realiti. Inilah mungkin cabaran
paling besar bagi saya dan rakan-rakan saya ialah untuk menangani
persepsi.
SOALAN: Kita semua tahu bahawa keluarga Datuk Seri, daripada
Allayarham Tun Abdul Razak mempunyai perhubungan cukup erat dengan Tun
Dr Mahathir. Ini pertalian yang cukup lama. Walaupun dengan kritikan
daripada Tun Dr Mahathir, bagaimanakah Datuk Seri melihat Tun Dr
Mahathir. Adakah pandangan Datuk Seri sudah berubah? Kalau dulu Datuk
Seri melihat beliau seperti seorang bapa, dan Datuk Seri sendiri
merupakan anak didik beliau. Adakah pandangan seumpama itu sudah berubah
kerana timbul kritikan terbaharu Dr Mahathir.
NAJIB: Saya akan tidak apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir. Tetapi
saya ingin menyatakan bahawa, hakikatnya saya bertanggungjawab kepada
rakyat dan parti. Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa
akan tentukan. Tapi bagi saya, saya beriltizam untuk menyerahkan
kedudukan saya kepada rakyat dan parti. Bukan bererti saya tak hormat
mana-mana individu. Tapi itu soal individu. Dari segi hakikatnya saya
mesti serahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti.
SOALAN: Apakah hasrat Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan rakyat
keseluruhan supaya kita dapat keluar daripada kemelut ini dan bawa ke
tahap lebih baik?
NAJIB: Pada saya kita mesti lihat yang pentingnya apa? Pada saya
yang pentingnya the big picture. Yang penting adalah soal masa depan
kita, hala tuju kita. Kita jangan benarkan sesuatu isu yang
digembar-gemburkan seolah-olah negara kita ini ekonominya sudah hancur,
atau pun kita sudah bermasalah sampai tidak boleh ditangani. Itu tidak
benar sama sekali. Kita mesti yakin kita menuju hala tuju yang benar dan
positif. Dan dalam pada itu kalau ada kelemahan kita perbaiki, kita
perbetulkan. Mana-mana kerajaan di dunia pun tak ada yang perfect, mesti
ada kelemahan. Zaman Tun Dr Mahathir pun tak perfect juga, zaman saya
pun tak perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa kita ini mempunyai sikap
yang terbuka, kita betulkan keadaan, supaya hari esok lebih baik
daripada hari ini.
SOALAN: Apakah harapan Datuk Seri yang seterusnya, sebagai yang terakhir?
NAJIB: Harapan saya rakyat akan terus bersama-sama dengan kerajaan
yang ada sekarang ini. Mungkin tak semua, tapi biar sebahagian besar.
Sebab kita mewarisi sebuah negara yang mempunyai masa depan yang begitu
cerah sekali. Mana-mana luar negara yang saya pergi, mereka melihat
Malaysia sebagai sebuah negara contoh, model. Janganlah kita
mempolitikkan keadaaan ini terlalu sangat sehinggakan menghancurkan
kepentingan negara. Politik tidak boleh mengatasi kepentingan negara.
Kalau semua rakyat sedar, Insya-Allah kita punyai masa depan yang
begitu baik sekali. Kita boleh berbeza pendapat, tak jadi masalah,
asalkan kita gunakan cara yang baik, cara berhemah, cara penuh
bertanggungjawab. Masa depan Malaysia, Insya-Allah tetap terjamin.
Dipetik daripada sumber : Astro Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment