Monday, April 13, 2015
Pemuda Siap Sedia Pertahan Rekod Tanpa Kalah Di Rompin
10 April 2015, Rompin : Ketua Pemuda UMNO Rompin, Kapt. (B) Datuk Mohd
Johari Hussain berkata, jentera Pemuda kini hanya menunggu masa untuk
digerakkan bagi memulakan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Kecil
(PRK) Parlimen Rompin ekoran kematian penyandangnya, Tan Dr. Sri
Jamaluddin Jarjis baru-baru ini.
Jelasnya, Pemuda bakal memainkan peranan sebagai jentera utama dalam
memastikan segala gerak kerja berjalan lancar sekaligus mempertahankan
rekod tanpa kalah Barisan Nasional (BN) dan majoriti besar yang
dimenangi sebelum ini.
“BN tidak pernah tewas di kerusi ini. Jadi Pemuda di 14 Bahagian
dalam Rompin akan bergabung bagi memastikan rekod ini dipertahankan.
“Malah saya yakin dan percaya masyarakat di sini masih tetap yakin
dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak apatahlagi Allahyarham
Jamaluddin Jarjis telah meninggalkan rekod yang baik di sini,” jelasnya
kepada UMNO-Online.
Selain itu tambah Johari, Pemuda Bahagian bakal membentangkan
domografi penduduk politik semasa perbincangan bersama ketua Pemuda UMNO
Negeri dalam masa terdekat ini.
“Ini semua penting kerana selaku jentera utama, perancangan teliti perlu dilakukan bagi mendekati para pengundi.
“Kita juga perlu memastikan semua pengundi yang berada di luar
kawasan balik untuk mengundi. Jadi segalanya perlu dilakukan segera,”
tambahnya lagi.
PRK Parlimen Rompin bakal diadakan pada 5 Mei dan penamaan calon
adalah pada 22 April, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 30
April.
PRK Parlimen Rompin perlu diadakan berikutan kematian anggota
Parlimennya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di
Semenyih, Sabtu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan
tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan
bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti
15,114 undi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment