Friday, April 17, 2015
Manipulasi Kenyataan Pemimpin Kerajaan Modus Operandi Utama Pembangkang
17 April 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan,
Dzulkarnain Mohd Taib mendedahkan bahawa memanipulasikan kenyataan
kepimpinan kerajaan merupakan salah satu strategi yang digunakan oleh
pihak pembangkang bertujuan mengelirukan rakyat serta mewujudkan
persepsi negatif rakyat terhadap pemimpin kerajaan.
Jelas beliau, ternyata taktik yang digunakan oleh pihak pembangkang
ini berkesan apabila ada di antara rakyat di negara ini terpengaruh
dengan propaganda dan manipulasi berita yang dilakukan oleh pihak
pembangkang.
“Perkara ini bukan baru tetapi sejak akhir-akhir ini serangan melalui
taktik memanipulasikan kenyataan menteri atau kepimpinan UMNO semakin
menjadi-jadi terutama di dalam media sosial yang begitu luas
pengaruhnya.
“Kita boleh lihat bagaimana beberapa orang kepimpinan kerajaan yang
dimanipulasikan kenyataan mereka sehingga menimbulkan kemarahan di
kalangan rakyat, sedangkan hakikatnya banyak lagi perkara-perkara baik
yang disebutkan namun tidak disiarkan,” tegasnya kepada UMNO Online di
sini hari ini.
Tambah beliau, pihak pembangkang telah menggunakan secara menyeluruh
kemudahan media sosial seperti facebook, twitter, instragram dan
lain-lain untuk menyebarkan dakyah mereka kepada rakyat.
“Mereka saya lihat menggunakan sepenuhnya teknologi media sosial ini
untuk mempengaruhi rakyat terbanyak secara senyap-senyap. Gerakan ini
telah mereka mulakan sejak dulu lagi dan hari ini kita boleh lihat usaha
tersebut tidak pernah terhenti, malah semakin hebat serangan-serangan
propaganda ini dilakukan.
“Lebih memburukan keadaan apabila ada di antara rakyat kita yang
hanya membaca tajuk berita saja mempercayai bulat-bulat apa yang
disebarkan oleh pihak pembangkang tanpa membaca cerita yang sebenar di
sebalik kenyataan tersebut,”jelasnya.
Ujarnya lagi, politik kotor pihak pembangkang yang memanipulasikan
kenyataan kepimpinan kerajaan khususnya pemimpin UMNO, adalah langkah
berterusan yang dilihat mereka mampu untuk mempengaruhi pemikiran rakyat
yang memberikan keuntungan politik kepada mereka.
“Namun secara peribadi saya melihat gerakan serangan balas untuk
memperbetulkan fakta yang dimanipulasikan oleh pihak pembangkang dari
pihakUMNO atau kerajaan agak perlahan berbanding dengan gerak kerja
pembangkang.
“Saya lihat kerajaan dan juga UMNO perlu secara berterusan memberikan
penjelasan secara meluas terutama di dalam dunia media sosial yang
begitu berpengaruh agar segala persepsi dan tanggapan negatif yang cuba
diwujudkan oleh pihak pembangkang dapat kita tangani,” jelasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment