Tuesday, April 07, 2015
POTA Tidak Sama Seperti ISA – Muhyiddin
8 April 2015, Jakarta : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan
mencadangkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana mendapati keperluan
satu undang-undang khas bagi membanteras kegiatan keganasan di negara
ini malah sejak kebelakangan ini terdapat rakyat Malaysia yang terbabit
dengan kegiatan itu di luar negara.
Timbalan perdana menteri berkata akta baharu itu memberi kuasa
eksekutif kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik
Yang di-Pertuan Agong.
POTA tidak memberi kuasa kepada menteri untuk melaksanakannya dan
kerajaan memberi jaminan tidak ada campur tangan dengan kuasa politik,
katanya mengenai rang undang-undang itu yang baru diluluskan Dewan
Rakyat, dalam sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat
Malaysia di sini malam tadi.
Beliau menegaskan POTA tidak sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan.
“Ada orang membuat dakwaan kononnya POTA adalah ‘ISA 2′ dan dakwaan
ini tidak benar kerana ia khusus untuk menangani masalah berkaitan
keganasan,” katanya sambil menjelaskan bahawa orang yang ditahan boleh
menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing.
Rang Undang-undang POTA diluluskan di Dewan Rakyat awal pagi semalam
setelah perbahasan mengenainya mengambil masa sehingga 12 jam apabila
pihak pembangkang terus menekankan tanggapan ia sama seperti ISA.
Muhyiddin turut kesal dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan
terhadap kerajaan mengenai usaha melaksanakan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) termasuk kononnya ia bertujuan untuk membayar hutang
kerajaan.
GST bukanlah untuk membayar hutang sebaliknya bertujuan untuk
menambah baik sistem pencukaian negara malah Malaysia adalah negara
ke-161 di dunia yang melaksanakan cukai itu.
Beliau berkata GST bertujuan memperbaiki kelemahan sistem percukaian
sebelum ini dan mengatasi ketirisan kerana terdapat pihak yang
mengenakan cukai terhadap pengguna tetapi tidak membayarnya kepada
kerajaan.
“Kita berilah sedikit masa untuk stabilkan harga selepas GST ini
dilaksanakan dan kerajaan bersedia menerima sebarang aduan daripada
rakyat menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepengunaan serta Jabatan Kastam,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, timbalan perdana menteri berkata terdapat
banyak lagi ruang dan peluang yang harus ditingkatkan dalam usaha
mempererat hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
Katanya walaupun lawatannya di Jakarta adalah singkat namun beliau
akan membincangkan banyak perkara mencakupi bidang ekonomi, pendidikan
dan sosiobudaya.
Muhyiddin berkata nilai dagangan antara Malaysia dan Indonesia adalah
sebanyak USD20.61 bilion pada tahun 2014 dan ia menurun berbanding
tahun 2013, sebanyak USD23.98 bilion.
“Malaysia adalah negara ketiga pelabur terbesar di Indonesia dan kita akan berusaha meningkatnya lagi,” kata beliau.
Beliau berkata dalam bidang pendidikan pula, Malaysia sememangnya
berhasrat menjadi hab pendidikan bagi Asia dan akan membuka ruang kepada
pelajar asing untuk memasuki institusi pengajian dengan sasaran
sebanyak 200,000 orang.
Selain itu terdapat cadangan menjadikan bahasa Melayu dan bahasa
Indonesia sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa dan ia akan
diusahakan oleh sebuah jawatankuasa bersama antara kedua-dua buah
negara.
Muhyiddin berada di Jakarta sejak semalam dalam rangka lawatan kerja
tiga hari dan beliau dijadual bertemu dengan Naib Presiden Indonesia
Jusuf Kalla hari ini.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment