Monday, March 23, 2015

Aduhai Selangor Aduhai…...

Image result for budiman zohdi

24 Mac 2015 : TINDAKAN kerajaan Se­langor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 19 Mac lalu bertegas membatalkan projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) terma­suklah mengumumkan penamatan rundingan perjanjian penstrukturan industri perkhidmatan air baru-baru ini sebenarnya sudah dijangka.

Ini bukan satu keputusan yang mengejutkan. Jika mengambil kira pendirian PKR dan DAP yang sebelum ini cuba mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bersifat mengelirukan rakyat, nyata segala usaha menolak kedua-dua projek ber­kenaan hanya untuk kepentingan politik sempit dua parti itu. Barangkali sudah menjadi mentaliti PKR dan DAP sentiasa menganggap sebarang projek pembangunan yang melibatkan Kerajaan Persekutuan sesuatu yang membazir, menguntungkan kroni, rasuah, menekan rakyat.

Walhal tohmahan-tohmahan ter­sebut tidak pernah dibuktikan mereka sehingga kini dan hanya berlegar-legar dalam media yang pro kepada mereka sahaja yang mungkin bertujuan menimbulkan sentimen negatif rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Pendek kata, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat semuanya tidak betul. Sebaliknya, yang pa­ling betul dan demokratik hanyalah mereka. Barangkali PKR dan DAP merasakan merekalah yang paling betul di dunia ini.

Bagaimanapun, saya percaya bahawa usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini memberikan kelulusan untuk pembinaan Kidex 2012 serta menandatangani perjanjian penstrukturan industri air dengan Kerajaan Persekutuan pada September 2014 dilakukan atas dasar rasional dan realistik berbanding kepimpinan negeri yang ada pada hari ini bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi oleh rakyat.

Ini kerana, rancangan pembinaan Kidex merupakan satu usaha bagi mengurangkan kira-kira 15 hingga 30 peratus kesesakan lalulintas yang selama ini menjadi dilema para pengguna jalan raya di Lembah Klang terutama di sekitar Petaling Jaya.

Malah, perkara itu ditegaskan sendiri oleh wakil penduduk yang mewujudkan kumpulan Say Yes To Kidex (SYTK) yang mahukan projek lebuhraya itu diteruskan sebagaimana yang dirancangkan sebelum ini.

Saya menghormati pandangan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang memberikan alasan bahawa projek lebuhraya itu tidak diperlukan di Selangor, sebaliknya beliau mahu mengemukakan cadangan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Selangor secara menyeluruh selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Khamis lalu.

Persoalannya apakah cadangan kerajaan negeri itu bersifat realistik dan mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang dihadapi oleh rakyat Selangor khususnya di Lembah Klang atau sekadar utopia semata-mata.

Ini kerana, kerajaan negeri tidak boleh menafikan fakta bahawa di Lembah Klang mencatatkan pertambahan bilangan pendaftaran kenderaan baharu paling tinggi di negara ini.

Berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan, Kuala Lumpur sahaja mencatatkan bilangan 359,239 pendaftaran kenderaan baharu pada tahun 2012 berbanding 328,359 pada tahun sebelumnya.

Jumlah itu tidak termasuk pendaftaran kenderaan baharu di Selangor pada tahun 2012 yang mencatatkan 103,681 meliputi pelbagai jenis kenderaan bermotor.

Dari segi jumlah keseluruhan kenderaan bermotor mengikut negeri pada tahun 2012 pula, Kuala Lumpur sahaja mencatatkan 5.3 juta buah kenderaan iaitu tertinggi di negara ini manakala Selangor pula mencatatkan bilangan 2.4 juta buah kenderaan.

Berdasarkan statistik ber­kenaan, apakah kerajaan negeri merasakan cadangan mereka itu cukup untuk menangani masalah kesesakan jalan raya pada masa depan?

Kita perlu faham mengenai kedinamikan statistik itu yang mungkin menyaksikan pertambahan bilangan yang besar selari dengan kemampuan sosioekonomi rakyat ketika ini khususnya di Lembah Klang.

Sepatutnya, kerajaan negeri mengambil pelbagai pendekatan dalam mengatasi masalah kesesakan dihadapi rakyat yang bukan hanya menjurus kepada cadangan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Selangor semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan negeri perlu mengambil kira pertambahan jaringan jalan raya (termasuk lebuh­raya) agar rakyat mempunyai ba­nyak pilihan sekali gus memberikan keselesaan selain menggalakkan lagi pertumbuhan kawasan baharu yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Selangor.

Sistem jaringan jalan raya yang terhad tidak akan memberikan ke­san yang positif kepada tahap kecekapan serta kelicinan pe­ngangkutan awam pada masa de­pan lebih-lebih di kawasan Lembah Klang yang menjadi pusat tumpuan atau penghijrahan rakyat negara ini dalam mencari peluang pekerjaan, pendidikan termasuklah pilihan kepada pihak industri menjalankan operasi mereka.

Dengan kata mudah, sistem ja­ringan yang pelbagai dan sistem pengangkutan awam adalah dua komponen yang saling melengkapi antara satu sama lain. Kegagalan kerajaan negeri memberikan perhatian kepada salah satu komponen tersebut sudah tentunya akan menjejaskan usaha menyediakan sistem pengangkutan yang terbaik kepada rakyat.

Bagi isu bekalan air bersih di Selangor pula, kerajaan negeri telah ‘berjaya’ menunjukkan sikap tidak adil kepada rakyat apabila membatalkan rundingan perjanjian penstrukturan industri perkhidmatan air dengan Kerajaan Persekutuan dengan memberikan alasan hakmilik tanah sepanjang 26,000 kilometer melibatkan jaringan sistem bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar pada 10 Mac lalu menerusi media mendakwa Kerajaan Persekutuan menuntut hakmilik jajaran tanah berkenaan yang kononnya bercanggah dengan syarat perjanjian yang ditandatangani sebelum ini. Malah, secara keterlaluan Menteri Besar cuba mengaitkan perkara itu sebagai mencabar kedaulatan tanah milik kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamed Azmin itu agak mengelirukan rakyat memandangkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili pada 17 Mac lalu menegaskan Kerajaan Pusat tidak pernah meminta Selangor menyerahkan tanah mereka di bawah perjanjian air itu.

Sebaliknya, tanah-tanah ber­kenaan menurut menteri ber­kenaan adalah melibatkan pajakan kepada syarikat pengurusan air Kerajaan Persekutuan untuk penyelenggaraan, menaik taraf serta kerja pembaikan bagi menguruskan air Selangor selama 45 tahun.

Mengapakah kerajaan negeri cuba memberikan gambaran yang salah khususnya kepada rakyat di sebalik isu perjanjian air antara Selangor dengan Kerajaan Persekutuan ini? Apa motif kerajaan negeri sebenarnya?

Hakikatnya, Kerajaan Pusat, termasuk majoriti rakyat Selangor serius mahukan bekalan air dapat ditangani sebaik-baiknya agar tidak berlaku masalah pada masa depan. Kerajaan negeri jangan lupa betapa azabnya rakyat Selangor terma­suklah pihak industri berhadapan dengan masalah air pada awal tahun lalu sehingga menyebabkan catuan bekalan terpaksa dibuat. Sekarang ini masalah air sudah berlaku di Bangi, Dengkil dan kawasan sekitarnya.

Jadi ambillah pengajaran daripada masalah yang berlaku sebelum ini, jangan hanya fikirkan soal politik.

Ditulis Oleh : Budiman Mohd. Zohdi

Image result for budiman zohdi
 
PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang yang juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment