Tuesday, March 31, 2015
Apa Pun Jenis Pakatan Baharu Yang Diwujudkan Tetap “Pakatan Songsang”
31 Mac 2015, Kuala Lumpur : Tindakan Dap dan PKR Sabah menubuhkan gabungan
pakatan baharu di negeri itu tanpa kehadiran Pas disifatkan sebagai
kewujudan ‘pakatan songsang’ yang cukup mengelirukan.
Exco Pemuda UMNO, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata adalah sesuatu
yang janggal dan tidak masuk akal peranan Pas tidak lagi dialu-alukan
oleh sekutu mereka di negeri tersebut sedangkan di semenanjung hubungan
tersebut masih berjalan.
Menurut beliau sikap mementingkan diri rakan sekutu Pas nampaknya
terpampang jelas dan senario terbabit bukanlah sesuatu yang cukup
menghairankan kerana itulah gambaran serta realiti sebenar wajah politik
parti pembangkang.
“Permainan mereka makin jelas… wayang mereka sudah terpampang satu
persatu. Kita yakin dan percaya mereka tukar apa nama sekalipun dan
tukar bentuk gabungan apa sekalipun rakyat Sabah tidak akan mudah
terpengaruh dengan dakyah songsang.
“Bukanlah kita bongkak apatah lagi bersikap angkuh… cumanya mereka
perlu ingat rakyat Sabah mahukan parti yang benar-benar menjaga
kebajikan dan kepentingan mereka. Itulah formula rakyat Sabah ini dan
bukannya bergantung kepada nama baru atau gabungan baru,” katanya kepada
UMNO-Online, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi apa guna pada nama atau gabungan baru sekiranya
acuan adalah dari bekas sama yang sudah pasti tidak lari jauh daripada
apa yang telah dipaparkan sebelum ini.
Sebab itulah beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi
berkeyakinan rakyat Sabah tidak akan mudah memberikan kepercayaan kepada
gabungan atau pakatan baru kerana kerajaan negeri sentiasa mengutamakan
mereka.
PKR dan Dap Sabah memutuskan hubungannya dengan Pas di negeri ini
susulan ketegasan parti Islam meneruskan pelaksanaan hudud di negara
ini.
Dalam kenyataan bersama, dua parti ini berkata mereka akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat tanpa parti Islam.
Firdaus seterusnya menegaskan apa jua alasan yang dikemukakan ianya
tidak akan menutup ‘pakatan songsang’ yang cuba diwujudkan itu.
“Kita berharap rakyat Sabah melihat dengan jelas bagaimana politik
pembangkang ini. Hari ini kita sudah dapat lihat bagaimana mereka
berantakan antara satu sama lain dan mengambil kira senario tersebut,
apakah itu yang ingin kita harapkan dan apakah itu yang ingin kita
letakkan tanggungjawab.
“Pakatan sendiri penuh dengan caca merba dan penuh dengan masalah
antara satu sama lain. Itu belum lagi masuk bab kepercayaan dan bab
ideologi yang bersimpang siur sesama mereka,“ ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment