Sunday, March 29, 2015

The Malaysian Insider Disiasat

30 Mac 2015 : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat The Malaysian Insider berhubung laporan-laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.

Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal propembangkang tersebut.

“SKMM dan polis (PDRM) telah bekerjasama menyiasat The Malaysian Insider selepas laporan polis dibuat selain meneliti laporan-laporan mengenainya di akhbar-akhbar sejak Jumaat lalu. Siasatan itu masih lagi berjalan hingga kini.

“Belum dapat dipastikan bila siasatan akan selesai, sama ada ia akan mengambil masa yang lama atau sekejap juga tidak pasti. Semua itu bergantung kepada keadaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini yang mempersoalkan tentang apakah bentuk tindakan SKMM terhadap The Malaysian Insider berhubung laporan portal itu yang sering dipersoalkan kesahihannya.

Malah, Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam turut mencadangkan supaya kerajaan membubarkan SKMM kerana The Malaysian Insider dilihat ‘lebih berkuasa’ dan sering terlepas daripada dikenakan tindakan meskipun menyiarkan banyak laporan yang menghasut, fitnah dan memudaratkan ketenteraman awam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mortadza Nazarene memberitahu, PDRM kini sedang menunggu laporan siasatan berhubung kes berkenaan daripada SKMM.

“Kami perlu mendapatkan laporan daripada SKMM terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut,” katanya.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment