Thursday, March 12, 2015
Mat Sabu Pilih Lawan Tuan Ibrahim Atau Abdul Hadi?
12 Mac 2015 : Boleh
dikatakan ramai pemerhati politik tanahair yang teruja apabila Naib
Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan kesediaannya untuk
bertanding jawatan Timbalan Presiden, sekaligus mencabar penyandangnya,
Mohamad Sabu, petang tadi.
Setela mengukuhkan kedudukan Datuk Dr
Haron Din Al-Hafiz menggantikan Al-Marhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
sebagai Mursyidul Am PAS, kini Tuan Ibrahim yang dilihat sebagai
pro-ulama pula menyatakan kesediaan untuk jawatan nombor dua PAS itu.
Nampaknya, dua jawatan utama yang dimomok
dan dibayangkan puak “jebon” di dalam PAS untuk menjatuhkan kepimpinan
ulama dalam parti itu sudah awal-awal lagi di”booking” oleh golongan
pro-ulama.
Sebelum ini, aktivis PAS pro-PasMa di
Kedah, Zulhazmi Shariff cuba mencatur kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi di kerusi Mursyidul Am sehingga menyebabkan ramai ahli dan
penyokong pro-ulama PAS yang tidak senang duduk.
Namun nampaknya lobi awal PasMa itu tidak
menjadi apabila diisi Ustaz Haron Din. Dan kini, Mat Sabu pula dicabar
Tuan Ibrahim bagi jawatan Timbalan Presiden. Agaknya apa tindakan PasMa
dan gerakan yang mahu menamatkan penguasaan ulama di dalam PAS?
Tidak dinafikan kedudukan Mat Sabu tengah
“panas”. Tersepit. Imejnya buruk di mata ahli dan penyokong PAS kini
sebagai suspek utama mahu menjatuhkan Hadi.
Mungkin diatas lemahnya kedudukan Mat
Sabu itu, Tuan Ibrahim berani umum awal untuk bertanding jawatan yang
disandang Abang Mat tersebut. Malah besar kemungkinan, Tuan Ibrahim akan
menang mudah mengatasi Mat Sabu nanti.
Soalnya, apakah tindakan yang bakal
diambil Abang Mat? Sama ada lawan Tuan Ibrahim bagi mempertahan jawatan
Timbalan Presiden, atau bertindak merebut jawatan Presiden dari Abdul
Hadi?
Pada pandangan saya, situasi ini bagaikan
“diluah mati ibu, ditelah mati bapa”. Jika lawan Tuan Ibrahim, mungkin
Mat Sabu kalah. Malah kalau mahu dilawan Abdul Hadi pun, rasanya dia
akan kalah juga.
Pada saya, kemungkinan besar Mat Sabu
akan menegaskan bahawa dia tidak “gila jawatan”. Kemungkinan besar untuk
“selamat”, Abang Mat kita itu akan mengeluarkan kenyataan bahawa dia
hanya mengikut pencalonan dari kalangan ahli dan perwakilan PAS untuk
kedudukannya.
Dengarnya “zuhud”, bukan? Merendah diri
untuk menerima pencalonan yang sesuai. Padahal, dia dalam keadaan
tersepit, tidak mampu menetap keputusan untuk bertanding jawatan apa
pada pemilihan PAS kali ini.
Pada hemat saya, “kehilangan” Mat Sabu
dari kepimpinan utama PAS sekiranya berlaku tidak akan memberi kesan
besar yang keterlaluan. Bukan Mat Sabu seorang saja yang berkomplot
untuk menjatuhkan kepimpinan ulama PAS. Malah ramai lagi katanya…
Jika gagal percaturan pada pemilihan kali
ini, maka mereka akan mencatur untuk pemilihan yang akan datang pula
nanti. Lagipun, bukankah pemimpin PAS sendiri yang menyatakan bahawa
gerakan menjatuhkan Abdul Hadi bermula sejak 1998 lagi, kan?
Dalam keadaan Abdul Hadi yang kian
berumur dan sering uzur sejak kebelakangan ini, dilihat tiada calon yang
sesuai untuk mengisi jawatan nombor satu PAS itu. Tuan Ibrahim sendiri
menegaskan beliau belum sedia, tapi tak tahulah pada masa akan datang.
Pada saya, kini adalah masa untuk Mat
Sabu membuat keputusan tegas. Dia perlu putuskan untuk bertanding
jawatan apa kali ini. Namun alang-alang menyeluk pekasam, pada saya
lebih baik Abang Mat bertanding merebut jawatan Presiden PAS saja.
Kalah atau menang, itu soal lain. Datuk
Mahfuz Omar kalah bertanding Naib Presiden, tapi dilantik menjadi Ketua
Penerangan PAS walau dia dikatakan tidak tahu tugas penting tersebut.
Mungkin Mat Sabu akan dilantik ke jawatan itu jika kalah bertanding
nanti, kan?
Orang lama dalam politik PAS seperti Mat
Sabu sememangnya licik dalam mencatur kedudukannya. Malah kadangkala
kenyataannya di media hanyalah retorik politik semata-mata dengan motif
serampang 10 mata. Saya yakin, Abang Mat akan “survive” kali ini.
Justeru itu, kita sama-sama nantikan apa
keputusan Mat Sabu nanti. Saya yakin, ramai yang ternanti-nanti jawapan
darinya. Sehingga artikel ini ditulis, Abang Mat masih belum umumkan
mahu bertanding sebarang jawatan untuk pemilihan kali ini. Kita tunggu!
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment