Thursday, March 12, 2015
Tuan Ibrahim Sedia Mencabar Mat Sabu
12 Mac 2015 : Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan
presiden parti itu pada Muktamar PAS tahun ini sekiranya mendapat
pencalonan dari mana-mana kawasan untuk jawatan itu.
Beliau berkata dua elemen utama yang menjadi tumpuannya sebelum
bersetuju untuk bertanding mana-mana jawatan ialah keperluan dan
kemampuannya menggalas amanah tersebut.
“Dulu (dalam muktamar) sebelum ini pun, memang ada cadangan untuk
saya bertanding jawatan seperti timbalan presiden, naib presiden dan
ahli jawatankuasa PAS pusat.
“Namun ketika itu, dengan kemampuan saya, cukup jadi naib presiden,
namun kali ini jika ada pencalonan (untuk jawatan timbalan presiden),
saya akan tengok…saya akan istikharah,” katanya dalam sidang media
sempena pengumuman program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali
ketiga dekat Rusila di Marang.
Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan
bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada
muktamar tahunan PAS ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini.
Ditanya berhubung tindakannya menolak pencalonan dari PAS Kota Bharu
untuk bertanding jawatan presiden, Tuan Ibrahim berkata ia berikutan
tiada keperluan untuk menukar presiden ketika ini, iaitu Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
“Ketika dunia mengangkat beliau, kita anggota PAS sepatutnya lebih
memberi sokongan kepada beliau dengan begitu banyak kejayaan yang
dicapai sepanjang kepimpinannya.
“Namun saya hormati pencalonan dari kawasan (Kota Bharu) itu, saya
melihat keikhlasannya dan pandangan dari mana-mana kawasan (untuk
muktamar) itu adalah demokrasi dalam parti,” katanya.
Ini berikutan sebelum ini Yang Dipertua PAS Kota Baharu Datuk Wan
Abdul Rahim Wan Abdullah pernah mencadangkan nama Tuan Ibrahim sebagai
presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS dan yakin
Abdul Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS
yang sedang berpecah teruk sekarang ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali telah menyatakan
keyakinan tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Abdul Hadi
buat masa ini.
Ketika ini, jawatan timbalan presiden PAS disandang oleh Mohamad Sabu
manakala Abdul Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih
kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment