Wednesday, March 25, 2015

Hudud: PAS Belum Mampu Lagi, Berhentilah Dari Terus Menipu Umat Islam…

hudud pas
25 Mac 2015 : Sedang Dewan Negara bersidang, masih ramai lagi “YB-YB” tidak rasmi sedang hangat membicarakan soal perlaksanaan hukum hudud, pembentangan, kemelut “drama” PAS – DAP dan sebagainya di kedai kopi.

Di dada-dada akhbar, drama pergaduhan antara PAS dan DAP semakin mendapat liputan media. Namun bagai dilihat, lagaknya berantakan teruk bagai “retak menanti belah”. Tapi sampai sekarang tidak terbelah. Tidak ubah bagai sandiwara semasa…

Pada saya, yang paling menarik adalah ulasan dari para penganlisis politik yang berpandangan bahawa usaha hudud kali ini adalah sangat tipis dan berkemungkinan besar hanyalah sia-sia belaka.

Untuk menjayakan usaha mendapat kelulusan bagi pindaan enakmen hudud Kelantan itu, Perkara 76A (1) perlu dipinda terlebih dahulu. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee sebelum ini telah mengesahkan bahawa sebarang pindaan kepada Perkara 76A (1) memerlukan sokongan dua pertiga dari kalangan ahli parlimen.

Itu belum lagi disebut mengenai akta-akta jenayah lain yang membabitkan hukuman serta sistem perundangan negara lain seperti Akta 355 dan sebagainya yang turut perlu dipinda. Semua itu memerlukan undi majoriti ahli parlimen.

cf601783314e131f5989fe95a98e431e

Katakanlah semua ahli parlimen UMNO yang berjumlah seramai 88 orang menyokong pindaan tersebut dan ditambah pula sebanyak 21 undi dari jumlah ahli parlimen PAS di Dewan Negara. Jumlah undinya baru 109 undi sahaja.

Mampukah undi sebanyak 109 membentuk undi majoriti di parlimen? Jangankan majoriti 2/3, malah untuk dapatkan majoriti mudah pun adalah sangat mustahil.

Hikmah yang sepatutnya dipelajari oleh PAS ialah usahlah gebang besar, beretorik memancing undi dan memberi harapan kosong sekiranya teknikal kira-kira undi pun parti itu gagal mengira dengan baik untuk mendapat kelulusan melaksanakan hudud.

Manakala hikmah yang tersirat yang perlu dipelajari oleh PAS ialah pentingnya umat Islam bersatu dalam politik. Itulah yang paling penting. Untuk menjayakan hudud, PAS perlu dapat sokongan dari semua ahli parlimen beragama Islam.

Sekiranya UMNO, PAS, PKR dan semua umat Islam bersatu di bawah satu payung, saya yakin kita akan dapat menambah jumlah ahli parlimen beragama Islam di Dewan Negara dan ia bakal memudahkan kita menjayakan sebarang usaha mengimarahkan agama Allah di Malaysia.

Jadi, apa untungnya PAS bersama Pakatan Haram yang jelas mempunyai jumlah ahli parlimen beragama Islam yang lebih kecil. Sudahlah mereka tidak menyokong hudud PAS, malah dasar-dasar PAS diketepikan begitu saja. Siapa yang rugi sekarang?

Bila ditegur mengenai “tahaluf siyasi” PAS dengan DAP dan PKR sebelum ini, kita dikatakan cemburu dan irihati. Malah kita dikecam. Padahal, kita hanya kasihan melihat saudara kita diperkuda dan dikeldaikan DAP dan PKR sewenang-wenangnya sejak 2008.

Allah SWT telah berfirman, malah Rasulullah SAW juga pernah bersabda dan menyeru umat Islam supaya bersatu padu serta berpegang teguh dengan “tali Allah”. Tapi dek kerana kuasa politik dan mahu menjatuhkan UMNO, PAS sanggup memecah belahkan umat Islam?

Jika benar pun Pakatan Haram berjaya menguasai Putrajaya, apakah PAS fikir hudud akan terlaksana dan mendapat sokongan di kalangan ahli parlimen Pakatan Haram? Tolonglah realistik sedikit. Baru hendak dibentang pun sudah teruk PAS dikutuk DAP dan PKR, inikan pula bila mereka berkuasa. PAS hanya “daki luar kulit” bagi mereka, sedarkah?

dap-tolak-hudud-pas

Justeru itu, tidak perlulah berdrama swasta lagi di depan rakyat. Mengaku sajalah PAS sendiri belum yakin hudud mampu dilaksanakan. Selagi umat Islam tidak bersatu, selagi ahli politik beragama Islam tidak bersatu, jangan haraplah hudud akan berjaya diimplimentasikan di negara ini.

Berbuih-buih Dewan Ulama dan golongan pro-ulama menggesa supaya tahaluf siyasi PAS dengan DAP dan PKR dikaji semula, PAS masih berdiam diri. Malah pucuk pimpinan PAS lebih sayangkan Pakatan Haram berbanding perjuangan asal parti itu.

Dalam PAS sendiri tidak bersatu dalam soal ini, bagaimana PAS mahu menganjurkan penyatuan umat Islam yang terpisah dengan pelbagai fahaman politik?

Sebab itulah saya menyarankan PAs supaya tidak beromong kosong tentang hudud. Usah beri harapan palsu pada umat Islam sedangkan parti itu sendiri tahu ia agak mustahil untuk dijayakan buat masa ini.

Berpijak;ah pada bumi yang nyata. Berhentilah berbicara kosong. Kaji dahulu hudud dengan lebih mendalam, bincangkan lagi dengan lebih menyeluruh, fahamkan dulu semua rakyat mengenai hudud.

Paling utama, satukan dulu umat Islam dalam politik negara ini, insyaAllah di kala itu barulah dipermudahkan semuanya. Setelah semua bersedia dan, barulah kita sama-sama laksana serta jayakan apa yang tertangguh. Wallahu’alam.

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment