Monday, March 23, 2015
Isu HUDUD Akan Jatuhkan UMNO Dan Jadikan Anwar Ibrahim PM ke-7
23 Mac 2015 : Agenda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993
(Hudud Pas) dimainkan oleh Pas bukan atas nama keadilan Islam atau
perjuangan Islam tetapi merupakan satu strategi politik Pakatan Rakyat
untuk memerangkap UMNO dan Barisan Nasional.
Para strategis Pakatan Rakyat termasuk di dalam Pas tahu bahawa Hudud
tidak akan boleh dilaksanakan di negara ini berikutan komposisi kerusi
Parlimen dan kedudukan masyarakat majmuk yang sangat berbeza dengan
zaman dahulu. Malahan mereka tahu Pas tidak mungkin berjaya mendapat
kelulusan Parlimen seperti yang diperlukan, namun mereka memainkan isu
ini bagi tujuan memecah belah Barisan Nasional.
Agenda Hudud yang dimainkan semula oleh Pas bukan sahaja ditentang
oleh Ahli Parlimen bukan Islam dalam DAP dan PKR, tetapi juga sebahagian
Ahli Parlimen Islam dalam Pas seperti Khalid Samad dan Mujahid Yussof
Rawa. Semua ahli Parlimen Islam PKR menentang hudud Pas ini. Demikian
juga Zairil Khir Johari.
Pas telah membahagi kumpulan pemimpin mereka kepada dua puak iaitu
yang menyokong dan menentang Hudud. Apabila UMNO Kelantan memutuskan
untuk menyokong Hudud Pas ini dan direstui oleh UMNO Pusat, perangkap
Pakatan Rakyat sudah menjadi.
Ini memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat berbanding Barisan
Nasional dalam meyakinkan masyakarat yang berbilang kaum dan agama,
terutamanya bukan Islam bahawa tiga parti ini lebih mesra bukan Islam
berbanding UMNO dan Barisan Nasional.
Ketika sebahagian pemimpin Islam dalam Pas sendiri menyatakan dengan
lantang mereka tidak bersetuju, ramai pemimpin UMNO membuat kenyatan
menyokong Hudud Pas ini. Kononnya ini sebagai satu perjuangan jalan
Allah tanpa mereka memahami kandungan Hudud Pas sepenuhnya dan memahami
tipu helah politik Pas.
Jika Pas sanggup mengkafirkan UMNO dan sehingga sekarang tidak pernah
merasakan penyesalan, apakah kita harus percaya keikhlasan Pas
membentangkan Hudud ini?
Pas sebenarnya hanya menjadi alat DAP untuk menjatuhkan Barisan
Nasional yang dipimpin oleh UMNO. Jika UMNO mengambil keputusan
menyokong Hudud Pas ini, maka selepas pembentangan usul persendirian ini
pada Mei 2015 nanti, ia akan menjadi pembangkang.
DAP dari awal telah mencabar MCA dan Gerakan keluar Barisan Nasional
jika benar mereka tidak bersetuju dengan Hudud Pas. MCA, Gerakan dan MIC
tiada pilihan, sama mereka ada keluar Barisan Nasional atau berkubur
terus dari politik negara. Mereka telah menyatakan pendirian mereka.
Demikian juga PRS akan keluar BN jika UMNO menyokong isu ini.
Dalam masa yang sama persefahaman Pakatan Rakyat tetap utuh kerana
mereka memutuskan untuk terus bekerjasama. Oleh kerana mereka bukan
entiti seperti Barisan Nasional, maka tidak timbul isu keluar parti.
Sekiranya UMNO menyokong Hudud Pas, kerajaan Barisan Nasional akan
tumbang kerana MCA, MIC, PRS, SUPP, SPDB, PBS, UPKO, Gerakan tidak lagi
menyokong Barisan Nasional.
PBB juga kemungkinan perlu keluar Barisan Nasional jika mereka mahu terus menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Ini bermakna UMNO hanya tinggal 88 kerusi. Bolehkah mana-mana
Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri? Kerajaan Barisan Nasional akan
tumbang sekelip mata tanpa melalui pilihan raya umum pun.
Apakah Pas akan menyokong UMNO? Pas mungkin akan mengelabui mata umat
Islam dengan sebahagian ahli Parlimennya menyokong Presiden UMNO ketika
Usul Undi Kepercayaan ke atas Perdana Menteri di buat di Parlimen.
Namun ahli-ahli Parlimennya yang menentang Hudud sudah pasti tidak
akan menyokong. Jika dengan sokongan penuh pun Pas dan UMNO belum boleh
membentuk kerajaan Persekutuan, apatah lagi jika sebahagian ahli
Parlimennya telah pun menyatakan tidak menyokong hudud.
Adakah anda mendengar mana-mana fatwa ulama Pas bahawa jatuh kafir ke
atas Khalid Samad, Mujahid Yusoof Rawa, Wan Azizah, Nurul Izzah dan
Anwar Ibrahim sediri kerana tidak bersetuju dengan Hudud ini?
Tidak ada, kerana ini adalah permainan politik pas yang amat licik bertopengkan agama.
Mereka tahu sukar mengalahkan BN dalam pilihan raya umum kecuali
melakukan pecah belah seperti ini. Jika UMNO terperangkap dalam
permainan ini mereka akan menjadi pembangkang sebelum Raya Aidilfitri
tahun ini dan Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Ke-7 Malaysia.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden
UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak boleh berdolak dalih esok.
Pendirian yang perlu dibuat hanyalah melalui keputusan Barisan
Nasional bukannya UMNO. Dalam konteks pemerintahan negara UMNO secara
sendirian tidak relevan pada masa kini.
Ini perlu disedari oleh Mohd Najib Tun Razak, para pemimpin UMNO dan
ahli UMNO. Mana lebih penting menjadi parti pemerintah yang boleh
menjaga kepentingan Islam dan Melayu atau menjadi catatan sejarah
menyokong Hudud Pas tapi menyebabkan masa depan Islam dan Melayu
terumbang ambing dibawah Pakatan Rakyat yang dikuasai oleh DAP, parti
didikan mendiang Lee Kwan Yew!
Jika Ulama dalam UMNO tidak faham siasah politik ini, maknanya belum cukup dalam ilmu agama mereka.
Nota Kaki
UMNO membuat kesilapan apabila mengenepikan pendirian awal parti
tersebut sejak berdekad-dekad lalu dengan menyokong Enakmen Kanun
Jenayah Syariah Kelantan 1993 (pindaan 2015) baru-baru ini. Penolakan
Hudud Pas ini telah dibincangkan begitu panjang lebar oleh UMNO sejak 20
tahun lalu dan tiada sebab untuk melangkah kebelakang semula.
Kita tahu Hudud tidak boleh berfungsi dengan adil selagi ia tidak
memperuntukkan hukuman dan sistem menjatuhkan hukum yang sama antara
Islam dan bukan Islam. Tidak ada ada dalam sejarah pentadbiran
Rasulullah s.a.w. dan Khulafa ar-Rasyidin, orang Islam menerima hukuman yang lebih berat dari bukan Islam.
Jika kita tidak boleh mengenakan hukuman hudud berzina dan minum arak
ke atas orang bukan Islam, hukuman ke atas pencuri harus sama.
Malangnya ini tidak diambil kira oleh Hudud Pas. Hudud Pas ini juga
tidak mengambil kira kaedah-kaedah penentuan hukuman rejam oleh
Rasulullah s.a.w dalam kes berzina.
Perbahasan mengenai keupayaan Malaysia melaksanakan hudud dengan adil
sudah banyak diperbahaskan. Cukuplah dengan kesimpulan bahawa adalah
hak pemerintah negara untuk menggantikan Hudud dengan hukuman takzir.
Ini kerana dalam agama Islam dosa kepada Allah seperti minum arak dan
berzina boleh dihapuskan melalui taubat dan memohon keampunan kepada
Allah s.w.t. Hanya jika kejahatan minum arak dan zina itu sampai kepada
pemerintah (bukannya pemerintah menubuhkan pasukan pencari kesalahan)
maka hukuman perlu dijatuhkan sama ada hudud atau takzir bergantung
kepada ijtihad pemerintah ketika itu.
Dipetik daripada sumber : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment