Monday, March 23, 2015

Malaysia Tidak Boleh Terlalu ‘Diambil Alih’ oleh Hukum Hudud - Mujahid

23 Mac 2015

Mujahid kritik hudud mahu dilaksanakan parti sendiri

Kumpulan yang dilabelkan sebagai Anwarinas dalam Pas ternyata tidak mudah mengalah di sebalik kejayaan parti itu membentang dan meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), sebaliknya berterusan menjadi seperti gunting dalam lipatan.

Mujahid Yusof Rawa

Tidak menunggu lama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dilihat muncul sebagai antara pemimpin tertinggi Pas pertama tampil mengkritik apa yang diusahakan parti­nya sendiri apabila berkata, Malaysia tidak boleh terlalu ‘diambil alih’ oleh hukum hudud.

Menerusi laman Twitter miliknya, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menambah, menyediakan keselesaan hidup kepada masyarakat adalah keutamaan syariat Islam.

Kenyataan beliau itu sekali gus dilihat tamparan kepada usaha Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat pada Mei ini bagi membolehkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dilakukan untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hukum tersebut.

“Malaysia tidak boleh terlalu diambil alih oleh hudud, sedangkan kita (pada masa yang sama) gagal untuk membina sebuah negara yang kukuh. Menyediakan keselesaan hidup kepada masyarakat adalah keutamaan dalam syariat Islam,” katanya.

Sementara itu, menerusi laman blog miliknya, Mujahid berkata, semua pihak jangan mudah beremosi tanpa panduan ilmu yang membentuk prinsip-prinsip hukum hudud iaitu antaranya kuasa selain sama ada sudah memenuhi syarat untuk membolehkan pelaksanaannya dilakukan atau tidak.

“Hudud perlu dilihat sebagai hukum Allah SWT dari perspektif ini iaitu perspektif perlunya kuasa, keperluan sebab untuk melaksanakannya atau tidak dan sama ada memenuhi syarat untuk laksanakannya atau tidak. Jangan kita bermudah dan beremosi tanpa panduan ilmu,” katanya.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment