Sunday, March 29, 2015

Sokong Ketegasan Polis Dan Jangan Kompromi Pihak Menghasut Hancurkan Negara

30 Mac 2015, Kuala Lumpur : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyokong ketegasan pihak polis dalam menahan dan menangkap pemimpin parti pembangkang yang menjadi penghasut kepada himpunan dianjurkan Kita Lawan baru-baru ini.

Kata Syed Ali, himpunan haram Kita Lawan  amat memalukan dan mencemar nama baik negara yang terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni.

Jelas beliau lagi himpunan Kita Lawanboleh menjejaskan keselamatan awam kalau ianya tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Namun tindakan pihak polis yang disifatkan cekap dan pantas menahan beberapa pemimpin pembangkang terbabit sebelum himpunan Kita Lawan merupakan satu langkah yang harus dipuji dalam memastikan keselamatan awam terjamin di negara ini.

“Pihak polis kena bertegas dan jangan kompromi dengan pihak menghasut sehingga boleh menghancurkan masa depan negara. Tindakan peserta himpunan Kita Lawan membawa sepanduk dengan kata-kata kesat mengutuk dan menghina pemimpin negara adalah tindakan yang biadap dan jelas terpesong dari amalan baik selama ini.

polis 

“Dan kalau dikira kenapa himpunan itu diadakan jelas kerana memperjuangkan nasib individu bernama Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana kesalahan meliwat. Ini bermakna motif himpunan itu tidak membawa kepada perkara-perkara yang boleh menguntungkan rakyat selain boleh menghancurkan negara,” katanya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.

Menurut Syed Ali, memandangkan modus operandi himpunan Kita Lawan ini diadakan pada setiap hari Sabtu beliau mahukan pihak polis mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelakkan ibu negara yang menjadi tumpuan pelancongan dan aktiviti perniagaan terjejas.

Sabtu lalu  Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar antara lain berkata; “Kita hormat kebebasan bersuara tetapi kita tidak akan bertolak ansur terhadap kebebasan untuk menghasut dan tidak menghormati sistem di bawah Perlembagaan Persekutuan.”

Syed Ali memuji langkah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak pantas menahan dalang-dalang terdiri pemimpin parti pembangkang yang membawa kepada himpunan haram Kita Lawan  bagi mengelakkan kejadian lebih buruk melanda negara.

“Tindakan tegas PDRM ini amat kena dan sesuai masanya. Ini dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak agar jangan mencabar undang-undang negara. Kalaupun ada perasaan tidak puas hati kena dinyatakan mengikut salurannya.

“Cuba kita bayangkan apa akan berlaku kalau pihak polis tidak bertindak pantas menahan dalang terbabit menghasut rakyat berhimpun sudah tentu boleh menimbulkan suasana hura hara dan boleh mengancam keselamatan awam.

“Dalang-dalang ini bukannya memikirkan soal keselamatan rakyat dan keamanan negara ini sebaliknya dilakukan kerana memperjuangkan nasib individu. Dalang yang tamak dengan kuasa ini sanggup mempergunakan rakyat yang tidak berdosa kerana tujuan politik yang sempit. Mereka bukan sahaja rakus mengejar kuasa malah sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat semata-mata memperjuangkan nasib individu,” ujarnya.

Kata Syed Ali lagi, sudah tiba masanya pihak polis menggunakan kuasa yang ada seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Negara menahan pihak berkenaan termasuk pemimpin pembangkang cuba menjadi penghasut boleh menggugat keamanan negara.

Golongan penghasut ini memang tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana mereka mampu melakukan apa sahaja demi survival politik tidak beretika mereka. Pihak tidak bertanggungjawab ini juga langsung tidak memikirkan soal keamanan negara kerana mesej politik mereka sudah tentu mahu membolot kuasa mengikut jalan yang haram atau tidak mengikut saluran undang-undang.

“Saya amat berharap pihak polis jangan teragak-agak untuk menahan dan menangkap pihak yang menjadi penghasut ini agar menjadi pengajaran kepada pihak lain agar lebih menghormati undang-undang negara dan jangan cuba meruntuhkan masa depan rakyat dengan misi politik yang tidak jelas yang akhirnya boleh meranapkan tanahair yang kita cintai ini,” katanya.

Pada masa yang sama Syed Ali turut menyelar peserta himpunan  yang cuba merosakkan majlis perkahwinan anak Perdana Menteri dengan sepanduk menghina jelas melanggar tata susila atau adab dan tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat negara ini.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment