Thursday, March 12, 2015
Isu Air Selangor : Pendekatan Populis Pembangkang Bakal Bebankan Rakyat
12 Mac 2015, Kuala Lumpur : Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa
berkata, pemimpin pembangkang sering mengguna dan mengamalkan pendekatan
populis bagi mendapatkan simpati untuk menjadikan kerajaan pimpinan
Barisan Nasional (BN) itu buruk di mata rakyat.
Hal inilah yang terjadi di dalam isu membabitkan perjanjian
penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air di Selangor dengan
Kerajaan Persekutuan.
Jelas Anuar, BN sentiasa menjadikan kepentingan rakyat dan negara
seebagai perkara paling penting walaupun ianya bukanlah sesuatu yang
popular namun sedar bahawa pada pengakhirannya akan mendatangkan hasil
yang baik kepada semua.
“Ini kerana rakyat akan membuat penilaian dan akan menghakimi
tindakan itu samada bijaksana atau tidak. Pada jangka pendek mungkin
kelihatan seperti BN dan UMNO tidak pandai berpolitik atau lurus bendul
tetapi pada jangka masa panjang, ianya memberi kesan yang positif dan
amat baik.
“Kita kena yakin pada kebijaksanaan rakyat. Kita tidak boleh
politikkan urusan dan mandat rakyat. Kita mesti buat apa kita fikir baik
untuk kepentingan awam dan pada jangka panjang baik untuk negara,”
ujarnya dalam satu wawancara ekslusif bersama UMNO-Online.
Tambah beliau, inilah perbezaan politik pembangkang dengan BN kerana
cara pembangkang berpolitik hanya dilihat dari dasar pupulis malah
mereka sentiasa obsesi dengan soal populariti.
“Mereka menari mengikut rentak tanpa berani menongkah arus kerana ia
adalah sesuatu yang tidak popular. Inilah perbezaan antara pembangkang
dan kerajaan BN.
“Contohnya seperti banjir di Kelantan, rakyat sedang dilanda musibah
di Kelantan adalah negeri dipimpin oleh pembangkang maka adakah patut
kita membantu? Dari segi politik adalah tidak patut maka sewajarnya kita
biarkan mereka sehingga mereka meminta bantuan baru kita bantu tetapi
apakah perkara tersebut tindakan yang bijak?
“Apa yang betul adalah rakyat dalam kesusahan maka kita ketepikan
politik dan kita hulurkan bantuan. Perkara ini memang tidak membawa
kebaikan kepada kita dari segi politik tetapi pada masa akan datang
rakyat akan menilai bahawa inilah kerajaan yang betul dan
bertanggungjawab,” jelasnya lagi.
Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, inilah yang
terjadi berkaitan isu air yang tidak boleh dipolitikkan kerana ianya
melibatkan rakyat.
“Seharusnya perkara yang betul perlu dilakukan dengan membuka ruang
untuk berunding dan inilah yang dibuat oleh mantan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menteri Besar yang dahulu adalah
seorang yang tidak banyak berpolitik tetapi sentiasa mementingkan
rakyat maka ini tidak disenangi oleh rakan-rakannya yang mengamalkan
politik populis.
“Akhirnya dia disingkirkan maka kini mereka cuba ‘undo’ apa yang
telah dilakukan oleh bekas menteri besar Selangor ini. Mereka kini cuba
untuk putar-belitkan isu air agar kerajaan pimpinan BN kelihatan buruk.
“Kebiasaan pendekatan inilah yang sering digunakan pembangkang baik
dari segi isu mahkamah atau air itu sendiri. Semuanya akan diputar-belit
untuk mereka mendapat simpati daripada rakyat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment