Tuesday, March 24, 2015
Didikan Pembangkang Lahirkan Penyokong Bersikap Kurang Ajar – Zainal Rafique
24 Mac 2015, Kuala Lumpur : Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk
Zainal Rafique berkata, hasil didikan kepimpinan pembangkang yang gemar
menggunakan isu perkauman dan agama sebagai modal politik telah
melahirkan penyokong dan pengikut yang tidak lagi ada perasaan hormat-
menghormati antara satu sama lain di negara ini.
Menurut beliau, kepimpinan pembangkanglah yang telah membuka ruang
dan peluang dengan menggalakkan pengikut mereka bersikap kurang ajar dan
tidak menghormati perlembagaan negara dalam membuat sebarang kenyataan
dan tindakan di mana telah menyebabkan timbulnya rasa tidak selesa
diantara kaum di negara ini.
“Kita boleh lihat hari ini pelbagai dakyah, fitnah, cemuhan dan
tohmahan yang dilemparkan oleh golongan ini terutama di media sosial
terhadap institusi perlembagaan negara seperti institusi raja-raja
Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
“Dalam realiti masyarakat di negara ini yang berbilang bangsa dan
agama, sikap seperti ini yang tidak tahu untuk menghormati perasaan
orang lain pastinya boleh menimbulkan natijah yang buruk serta tidak
akan membawa sebarang kebaikan dan manfaat buat pembangunan negara.
“Justeru itu, saya memuji tindakan PDRM yang hari ini tegas mengambil
tindakan terhadap mana-mana golongan atau individu cuba mencetuskan
keresahan rakyat dengan kenyataan-kenyataan provokasi yang menghina kaum
atau agama.
“Ini penting agar ianya tidak berlarutan sehingga mencetuskan sesuatu
yang buruk dalam perhubungan antara kaum dan agama di negara ini,”
tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Kata beliau lagi, sikap pembangkang ini juga mencerminkan bahawa
golongan ini sanggup memperjudikan apa saja termasuk keharmonian dan
keamanan negara asalkan matlamat mereka untuk menjatuhkan UMNO dan BN
tercapai.
“Pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang baik, yang
memberikan cadangan yang berguna untuk kebaikan semua, dan bukannya
menjadi pembangkang yang hanya tahu menimbulkan kegusaran dan rasa tidak
selesa di kalangan rakyat dengan mencetuskan fitnah dan provokasi
melampau khususnya berhubung isu kaum dan agama.
“Namun hari ini, pembangkang di negara kita sejak dulu hingga kini
menjadikan modal perkauman dan agama sebagai senjata politik mereka
untuk meraihkan keuntungan politik buat mereka.
“Lantaran itu, muncullah watak-watak pencetus fitnah dan provokasi di
kalangan para pengikut mereka ekoran pendoktrinan politik yang sejak
sekian lama di lakukan oleh kepimpinan pembangkang di negara ini,”
ujarnya.
Beliau seterusnya menyeru agar rakyat di negara ini menolak sebarang
provokasi politik yang melibatkan isu yang sensitif dalam melibatkan
hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
“Kita tidak boleh menerima apatah lagi menyokong sebarang bentuk
pendekatan politik perkauman dan provokasi agama sepertimana yang dibawa
oleh pihak pembangkang.
“Pendekatan politik seperti tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan
bahkan boleh membawa kerosakan dan kehancuran kepada perpaduan,
keharmonian dan keamanan yang telah kita bina selama ini,” jelasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment