Tuesday, March 31, 2015
Pemuda Sedia Jadi Pasukan Pemantau Pelaksanaan GST
31 Mac 2015, Kuala Lumpur : Pemuda UMNO akan menjadi pemantau kepada
pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula esok
dalam usaha membantu masyarakat khususnya pengguna dalam pelbagai
lapangan.
Pengerusi Biro Tugas Khas pergerakan itu, Syamsul Bahrin Putra Ahmad
Shibi berkata langkah berkenaan akan digembeleng bersama dengan Biro
Kepenggunaan, Alam Sekitar & Kualiti Hidup.
Menurut beliau langkah itu akan bermula selepas dua minggu GST
dilaksanakan bagi memastikan segala lompongan dan juga segala aduan yang
timbul dapat dikenalpasti dan seterusnya dipanjangkan kepada
pihak-pihak berkaitan.
“Kita hari ini menyatakan kesudian untuk membantu memastikan
kelancaran GST agar hak rakyat selaku pengguna terjamin dan tiada pihak
yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.
“Ini kerana kami percaya bahawa pelaksanaan GSt akan membantu dalam
meningkatkan kestabilan ekonomi negara dan paling penting sekali
mewujudkan suatu ekosistem percukaian yang lebih efektif,” katanya pada
sidang media di sini, hari ini.
Turut serta Pengerusi Biro Kepenggunaan, Alam Sekitar & Kualiti Hidup, Mohd Ar rahman Husin.
Syamsul yang juga Ketua Pemuda Ipoh Barat seterusnya menambah
pihaknya juga akan memberi penekanan kepada bidang kesihatan setelah
dikatakan pelaksanaan GST memberi impak kepada bidang tersebut.
“Kita tidak menyangkal bahawa ekosistem perkhidmatan kesihatan akan
mengalami kejutan dan ada di antara pemain-pemain di dalam industri ini
akan cuba mengambil kesempatan. Serentak itu kita juga bersedia dalam
soal ini dan unit kesihatan akan ditubuhkan dalam masa terdekat menerusi
Biro Tugas Khas untuk membantu pihak berkaitan.
“Malah kita juga bersedia menawarkan perkhidmatan kami untuk menjadi
fasilitator perbincangan antara pengamal perkhidmatan kesihatan swasta
dan agensi kerajaan yang relevan agar kita dapat mencari jalan
penyelesaian yang akan menguntungkan semua pihak,’ Katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kepenggunaan, Alam Sekitar &
Kualiti Hidup Mohd Ar rahman Husin berkata tempoh dua minggu selepas
pelaksanaan GST bagi pengumpulan aduan adalah realistik.
“Kalau kita kata pantau esok atau lusa kita tidak tahu secara
menyeluruh…tidak tahu apa masalah yang berlaku. Sebab itulah kita
mengambil keputusan selepas dua minggu diaplikasikan GST barulah kita
bertindak.
“Dan kemudiannya tampil dengan formulasi serta jalan penyelesaian.
Seperti yang dikatakan tadi kita akan berhubung rapat dengan agensi
berkaitan dan pada masa yang sama kita akan jadi jambatan kepada rakyat
di luar sana.
“Dan kita juga akan turun padang baik di bandar serta luar
bandar…bertemu dengan peniaga serta orang ramai untuk berinteraksi
dengan mereka dan ini bukanlah perkara baru kerana sebelum ini pun kita
pernah turun padang di pasar-pasar borong dan sebagainya. Ini semua
adalah untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment