Monday, March 23, 2015
“Islam For All”: Kenapa Hudud PAS Kelantan Tidak Dikuatkuasa Pada Non-Muslim?
23 Mac 2015 : Di dalam kekalutan
membahaskan topik hudud di mini-mini parlimen yang terletak di kedai
kopi dan laman-laman sosial oleh pakar-pakar perundangan hudud, tercetus
satu persoalan mengenai pelan perlaksanaan hudud di Kelantan yang hanya
berkuat kuasa kepada orang Islam sahaja.
Dalam kenyataan Menteri Besar Kelantan
sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa pindaan enakmen hudud yang
direncana mahu dilaksanakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak
melibatkan golongan bukan Islam.
Alasan yang diberikan ialah enakmen
tersebut hanya dikuatkuasakan di mahkamah Syariah sahaja di mana sistem
perundangan syariah itu tidak membicarakan kes melibatkan golongan bukan
Islam di Malaysia.
Justeru itu katanya, masyarakat bukan
Islam tidak perlu takut dengan hudud kerana undang-undang syariah
tersebut tidak ada kena mengena dengan mereka dan mereka tidak akan
dihukum dengan hudud sekiranya melakukan jenayah di Kelantan.
Justeru itu, saya teringat kembali
mengenai draf-draf hudud yang pernah dibentang kerajaan PAS Kelantan
pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz dahulu yang pernah diminta
mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dikaji semula.
Dalam kandungan surat Tun M kepada
Allahyarham Nik Aziz yang pernah tersebar sebelum ini, jelas menunjukkan
wujud elemen tidak adil dalam draf-draf hudud tersebut, sekaligus
membayangkan seolah Islam itu menganjurkan undang-undang yang tidak
adil.
Ketika itu, UMNO dan BN telah dikafirkan
sewenang-wenangnya atas alasan kononnya “menolak hukum Allah”.
Sedangkan, apa yang berlaku adalah di sebaliknya di mana UMNO dan BN
hanya menjaga nama baik Islam serta hukum Allah yang Maha Adil dari
dijejaskan kecetekan ilmu “tukang” draf hudud berkenaan.
Di dalam hudud setahu saya, hanya
terdapat enam kesalahan mandatori sahaja iaitu sariqah (mencuri),
hirabah (merompak), zina (termasuk liwat), qazaf (tuduh zina), syurb
(minum arak) dan irtidad atau riddah (murtad).
Mengambil contoh zina (termasuk liwat),
sekiranya jenayah syariah tersebut dilakukan oleh dua pihak yang
melibatkan perempuan Islam dan lelaki bukan Islam, saya khuatir jika
lelaki bukan Islam itu tidak dikenakan hukuman yang setimpal dengan
muslimah yang disahkan berzina dengannya.
Sekiranya wanita Islam itu dirotan 80
sebatan di mahkamah Syariah Kelantan, manakala lelaki bukan Islam itu
dengan membariskan peguam-peguam handal, tidak mustahil dia boleh bebas
dengan hanya membayar denda beberapa ribu ringgit di mahkamah sivil.
Soalnya, di mana prinsip keadilan dalam
kes berkenaan. Apakah maqasid syariah itu “sampai” dalam kes tersebut?
Berbalur-balur tubuh gadis itu disebat sebagai pengajaran, tapi lelaki
bukan Islam itu boleh menyeringai tersengih sambil hisap rokok di kedai
mamak!
Islam itu syumul setahu saya. Prinsipnya
adalah “rahmatan lil ‘alamin”, membawa rahmat kepada seluruh alam
termasuk masyarakat Islam mahupun bukan Islam. Namun dengan perlaksanaan
hukum yang hanya dikenakan terhadap umat Islam, apakah golongan bukan
Islam mendapat pengajaran di sebalik hukum tersebut?
Maksud saya, sekiranya gadis yang berzina
itu mendapat rahmat dan pengajaran di sebalik hukuman hudud yang
dikenakan, apakah lelaki bukan Islam yang berzina dengannya atau
masyarakat bukan Islam lain terkesan dengan hukuman itu?
Saya tidak fikir lelaki itu atau
masyarakat bukan Islam akan mengambil iktibar dengan hukuman hudud
tersebut. Malah mungkin mereka akan lebih berleluasa melakukan jenayah
memandangkan kemungkinan mereka boleh terlepas hukuman dengan mudah.
Saya bukanlah seorang pakar perundangan
Islam. Namun secara logiknya, saya berpandangan bahawa hukum hudud yang
dibentang Kerajaan Negeri Kelantan itu sewajarnya turut dikuatkuasakan
kepada golongan bukan Islam jika melakukan jenayah yang berkaitan.
Tidak perlulah menghukum golongan bukan
Islam yang minum arak kerana itu tidak menjadi kesalahan dalam agama
mereka. Namun beberapa pindaan dalam enakmen hudud itu perlu dikuatkuasa
pada mereka jika bersabit.
Justeru itu, saya mengharapkan pencerahan
dari Kerajaan PAS Negeri Kelantan, termasuk Jawatankuasa Teknikal Hudud
Peringkat Negeri dan Pusat mengenai hal penguatkuasaan hudud yang tidak
melibatkan golongan bukan Islam itu.
Bukan apa, saya merasakan ia tidak adil
dari sudut konsep keadilan dan maqasidnya. Tidak hairanlah jika Tun M
selaku Perdana Menteri menolak hudud ciptaan PAS yang tidak adil dulu.
Dan tidak mustahil juga akan BN akan menolak kali ini.
Cuma, terimalah penolakan itu secara
terbuka. Tidak perlu diulang skrip drama lama yang kononnya UMNO dan BN
menolak hukum Allah. Kami tidak menolak hukum Allah, dan yang ditolak
hanyalah hudud yang tidak mencerminkan prinsip keadilan Islam.
Ia bukan saja menjejaskan nama baik
Islam, malah ia juga akan memperlihat seolah agama Allah ini bersifat
tidak adil, bukan? Wallahu’alam.
Dipetik daripada sumber : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment