Wednesday, March 25, 2015
Idea ‘Selamatkan Malaysia’… Siapa Sebenarnya Yang Tidak Selamat??
25 Mac 2015, Kuala Lumpur : Bukan sahaja gimik politik, malahan ianya
juga ibarat menanam tebu di tepi bibir, kata Ketua Puteri UMNO Perak,
Salbiah Mohamed ketika menyokong kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal mengenai cadangan ‘Selamatkan Malaysia’ oleh
Penasihat Dap, Lim Kit Siang baru-baru ini.
“Saya melihat cadangan Lim Kit Siang itu tidak lebih sekadar
gula-gula politik sahaja, tidak lebih dari itu. Walaupun ia merupakan
pandangan peribadi beliau, tetapi ia juga sebagai cerminan kepada
pemikiran beliau yang boleh mempengaruhi dasar parti itu,” katanya
kepada UMNO-Online.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor, Perak itu lagi,
Penasihat Dap itu sendiri yang mengakui pakatan mereka sedang menghadapi
krisis besar ekoran pelbagai isu, sekarang seolah-olah meminta nyawa
dengan Barisan Nasional (BN) demi kelangsungan politik mereka.
“Setelah dia melihat pakatan mereka kini di ambang perpecahan, retak
menanti belah, kini mencuba untuk memecah-belahkan pula kesepaduan dan
perpaduan parti BN dengan idea yang lebih kepada agenda sendiri.
“BN sebagai sebuah parti gabungan berdaftar, yang mana di dalamnya
terdapat pelbagai parti komponen dan telah terbukti mampu mengurus
tadbir negara ini dengan baik selama berpuluh-puluh tahun.
“Bukan seperti pakatan pembangkang, yang bukan sahaja tidak
berdaftar, malah sering tiada kesepakatan dalam dasar mereka dan
sentiasa membawa persepsi negatif kepada kerajaan,” jelas beliau lagi.
Salbiah yang juga Exco Puteri UMNO Malaysia seterusnya menambah,
‘Selamatkan Malaysia’ yang dilontarkan oleh Lim Kit Siang menimbulkan
seribu satu persoalan kepada masyarakat umum.
“Di manakah yang beliau rasa tidak selamat? Pakatan mereka atau sebaliknya. Hanya beliau sahaja yang tahu agendanya sendiri.
“Kita juga turut hairan mengapa pula tiba-tiba sekarang Ahli Parlimen
Gelang Patah itu ingin membicarakan mengenai perlembagaan dan
kedaulatan undang-undang negara, walhal selama ini, merekalah yang
sentiasa memanipulasi dan mempelopori perkara-perkara yang bertentangan
seperti demonstrasi Bersih, Lynas dan GST,” tegas Ketua Puteri UMNO
Bahagian Gerik itu.
Sebelum ini dilaporkan, Lim Kit Siang mengusulkan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan campuran untuk ‘Selamatkan Malaysia’.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment