Sunday, March 22, 2015

Meraikan Permusuhan Liverpool-Man United


cautinho 

22 Mac 2015 : JANGAN lupa. Pukul 9.30 malam ini. Liverpool (LFC) melawan Manchester United (MUFC) di Anfield, stadium tuan rumah LFC. Kita di Malaysia tonton siaran langsung menerusi televisyen satelit sahajalah sama ada di rumah, restoran mamak atau lokasi perhimpunan khusus kelab. Jika anda penyokong LFC, pakai baju kelab. Sama juga jika anda penyokong MUFC.

Daripada segi fakta perlawanan, inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh kedua-dua puak penyokong. Tambahan lagi, pemenang- pemenang malam ini akan dapat menentukan momentum dalam usaha mengejar empat tempat teratas dalam jadual liga yang berbaki lapan perlawanan musim ini.

Daripada segi prestasi, LFC merupakan satu-satunya kelab yang tidak pernah kalah sejak Disember dan kekalahan terakhirnya pada pertengahan Disember lalu ialah di tangan MUFC di Old Trafford. Istimewanya, ramai pengulas dan pemerhati beranggapan kekalahan itu menjadi titik tolak kepada pengurus LFC, Brendan Rodgers untuk menyusun strategi yang benar-benar berkesan.

Ekoran kehilangan Luis Suarez, LFC tidak dapat bergantung harap kepada seorang sahaja. Apatah lagi pemain yang menggantikannya, Mario Balotelli langsung tidak mencapai standard yang diharapkan. Formula Rodgers ialah, memastikan serangan bertalu-talu dalam kelajuan yang tinggi, dengan tiga serangkai penyerang di depan akan cuba membolosi gawang.

MUFC pula menyaksikan prestasi yang tidak konsisten dengan pengurusnya, Louis van Gaal (sebut van Hal, bukan van Gagal) masih tercari-cari formula terbaik. Taktik paling aneh beliau ialah bila menukar posisi Wayne Rooney daripada penyerang kepada pemain midfield. Cubaan itu tidak membuahkan hasil dan Rooney dikembalikan ke habitat semula jadinya.

Dalam carta, MUFC berada di tangga keempat, dua mata sahaja melebihi LFC. MUFC tahu jika tewas malam ini, mereka berdepan dengan situasi lebih rumit kerana akan melalui baki perlawanan-perlawanan yang lebih sengit berbanding dengan LFC.

Permusuhan

Saya adalah penyokong LFC. Fakta ini tidak pernah disorok dalam ruangan Merrepak ini, atau dalam akaun Facebook dan Twitter. Setelah tiga kali menjejak kaki ke Anfield dan mengikuti siri jelajahnya ke Malaysia, Singapura dan Indonesia, perlawanan menentang MUFC tetap teratas dalam kalendar saya. Keluar sahaja jadual musim baharu, tarikh menentang MUFC yang pertama ditanda.

“Permusuhan” dengan MUFC ini terbentuk ekoran provokasi MUFC itu sendiri. Di Liverpool, penduduknya terbahagi kepada dua kelab utama iaitu LFC dan Everton. Perlawanan ini dipanggil derby, iaitu bermaksud pertembungan dua kelab daripada satu kawasan sama. 

Misalnya, MUFC bertemu Manchester City juga akan digelar perlawanan derby. Lawaknya di London, terdapat berpuluh-puluh kelab tetapi akan dikecilkan mengikut daerah. Chelsea bertemu Arsenal tidak dipanggil derby kerana berlainan daerah, walaupun kedua-duanya terletak di London.

Permusuhan Liverpool dengan Everton tidak banyak diserapi di peringkat antarabangsa. Hakikatnya, di Liverpool, satu keluarga boleh terpecah sokongan. Dan senario ini berbeza dengan permusuhan terhadap MUFC yang dikongsi sama rata di seluruh dunia.

Fakta mudah ialah kejayaan luar biasa MUFC ketika pada zaman Sir Alex Ferguson yang melangkaui dua dekad, sekali gus menarik ramai generasi anak muda untuk menyokong MUFC. Ekoran persaraannya dua musim yang lalu, prestasi MUFC menjunam dan musim ini pun belum nampak pulih sepenuhnya. Ini kerana pada zaman Ferguson, sangat jarang MUFC bertarung di tangga keempat pada bulan Mac. Selalunya berebut tangga kedua atau pertama.

Seorang penulis sukan akhbar Daily Telegraph, Chris Bascombe menulis “mengapa MUFC bagus untuk LFC”. Ayat pertama artikel tersebut ialah, mengapa penyokong Liverpool dan Manchester United saling membenci?

Beliau berkata, realitinya kedua-dua kelab ini walaupun saling membenci, memiliki persamaan yang sangat besar. Dengan jaraknya hanya kira-kira 48.2 kilometer (macam Ampang ke Klang) di utara England, kedua-dua kelab ini telah menjadi kelab bola sepak paling berjaya dan paling terkenal di dunia.

Kedua-duanya memiliki penyokong di luar bandar raya. Para penyokong tegar masing-masing yang terdiri daripada golongan pekerja, berkeras mahu melindungi identiti kelab, menolak sebarang cadangan bahawa perluasan jenama kelab daripada segi komersial adalah sama penting dengan bola sepak.

Menurut Bascombe, Ferguson memulakan “pemerintahan diktatornya” di MUFC dengan memberitahu lembaga pengarah kelab untuk melupakan yang sudah berlalu, buang pemain primadona dan berazam untuk mencipta pasukan yang sama formula digunakan oleh Liverpool dibawah teraju Bill Shankly, Bob Paisley dan Joe Fagan.

“Sir Alex tidak akan menyebut secara terbuka tentang kekagumannya pada pengurus-pengurus Liverpool yang berjaya itu. Para penyokong kelab tidak akan menerimanya sama sekali,’’ ujar Bascombe.

Menurut beliau lagi, jika ditanya kenapa saling membenci, jawapan daripada penyokong LFC dan MUFC akan hampir sama iaitu sikap berat sebelah media di United Kingdom yang cenderung kepada satu kelab. Pemain utama dijadikan berita besar dan “menghasut” Persatuan Bolasepak England mengenakan tindakan. Selain itu, kejayaan pasukan yang disukai diperbesarkan dan kekalahan diberi penekanan yang mendorong pengurus dipecat.

Bascome berkata, pada 1960-an, rasa hormat antara penyokong MUFC dan LFC adalah lebih baik. Penyokong LFC akan bertepuk tangan menghargai kemahiran George Best dan Bobby Charlton bila bermain di Anfield. Tetapi dengan kewujudan pemain seperti Gary Neville yang kaki gaduh atas padang, penghormatan seumpamanya tidak perlu wujud lagi.

Secara peribadinya, saya mendakap semangat LFC yang tidak menyukai MUFC tetapi saya agak objektif kerana di peringkat Piala Dunia, saya menyokong England. Jika Rooney menjaringkan gol, saya tidak teragak-agak bersorak.

Masalahnya, dia pula makin kurang jaringkan gol bila bermain untuk England.
(Dipetik dari Mingguan Malaysia hari ini. Tajuk asal rencana ini ialah “Mengapa Liverpool Membenci Man United”)

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment