Monday, March 23, 2015
GST: Harga Kereta Lebih Murah
23 Mac 2015 : Secara keseluruhannya harga kereta akan menjadi
lebih murah selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan 1
April, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad.
Beliau menjelaskan, ini disebabkan GST hanya enam peratus sahaja manakala cukai jualan kenderaan ketika ini ialah 10 peratus.
Cukai jualan kenderaan itu akan dimansuhkan pada 1 April, katanya.
Khazali memberitahu Bernama, kesangsian berhubung sama ada harga akan
naik atau turun wujud susulan terdapat kekeliruan dalam kalangan
pengedar kereta berhubung bagaimana mereka hendak menjual kereta yang
mereka telah bayar cukai jualan kereta sebanyak 10 peratus.
“Sebenarnya, Kastam akan membayar balik cukai jualan 10 peratus yang
telah dibayar oleh mereka dengan syarat mereka harus menunjukkan dokumen
rasmi sebagai bukti yang mereka telah membayar cukai itu dan masih
belum menjual kereta berkenaan setakat 31 Mac,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit
Kuala Lumpur-Selangor (KLSCDCCA) Khoo Kah Jin berkata, beliau tidak
menjangkakan penurunan ketara harga kereta kerana perbezaannya mungkin
diimbangi oleh harga komponen kereta yang diimport berikutan kadar
tukaran asing lebih tinggi.
“Harga kereta memang akan turun iaitu dua hingga tiga peratus dengan GST,” katanya.
“Namun, harga itu mungkin akan naik sedikit bergantung kepada kadar
tukaran asing kerana kebanyakan komponen kereta adalah diimport,
contohnya Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun,” katanya.
Kah Jin berkata, bagi kereta terpakai, harganya juga dikenakan GST
namun dimasukkan ke dalam Skim Margin bagi mengelakkan pembayaran cukai
berganda.
“Pembeli (kereta terpakai) tidak akan terjejas dengan kenaikan harga
kerana GST hanya dikenakan ke atas pengedar kereta terpakai berdasarkan
keuntungan daripada jualan kereta.
“Sebagai contoh pengedar kenderaan terpakai membeli sebuah kereta
dari seorang individu dengan harga RM30,000, kemudian menjualnya semula
kepada individu lain dengan harga RM60,000, maka GST akan dikenakan ke
atas kadar keuntungan RM30,000 itu sahaja,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment