Wednesday, March 25, 2015

UMNO Anjur National Academic Decathlon 2015, Angkat Martabat Pelajar Ke Persada Dunia

24 Mac 2015 : Buat julung kali, UMNO akan menganjurkan National Academic Decathlon 2015 pada bulan April nanti bagi mengangkat martabat serta memberi peluang kepada pelajar-pelajar negara ini bersaing hingga ke peringkat antarabangsa, kata Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Haji Salleh.

Tambah beliau lagi, pelajar-pelajar yang berjaya di peringkat kebangsaan akan bersaing dengan pelajar-pelajar dari 35 buah negara dari seluruh dunia di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah peluang keemasan untuk sekolah-sekolah dari seluruh negara, bukan sahaja sekolah berasrama penuh, malahan sekolah harian dari bandar dan luar bandar juga untuk turut sama menunjukkan kemampuan pelajar-pelajar mereka.

“Saya yakin, ramai di kalangan pelajar-pelajar kita yang berkebolehan boleh dikenalpasti untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Siapa kata anak-anak kita tidak boleh? Sebagai contoh, seorang pelajar dari Kolej Yayasan Saad telah menjadi pendebat terbaik ketika menyertai kejohanan di Amerika Syarikat,” katanya lagi ketika mengadakan sidang media di sini hari ini.

Pertandingan ini terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang berumur 13 tahun hingga 19 tahun dengan dua kategori iaitu kategori junior (13 – 15 tahun) dan senior (16-19 tahun).

Program anjuran Biro Pendidikan UMNO Malaysia dan Malaysian Institute For Debate and Public Speaking dengan mendapat kerjasama penuh dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan ini dipecahkan kepada lima zon iaitu Zon Borneo diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (11 dan 12 April), Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu (17 dan 18 April), Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (24 dan 25 April 2015), Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (1 dan 2 Mei) dan Zon Tengah di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (2 dan 3 Mei).

Kuala Lumpur, 24 Mac--Timb. Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Pendidikan UMNO Malaysia berkaitan penganjuran 'National Academic Decathlon 2015' di PWTC petang ini. - Foto : MediaUMNO

Pihak penganjur menyasarkan 50 hingga 80 pasukan bagi setiap zon dan di peringkat kebangsaan sebanyak 100 pasukan. Setiap kumpulan bagi setiap acara mempunyai tiga orang peserta dan yuran penyertaan sebanyak RM360 bagi satu pasukan, yang meliputi kos penginapan, pengangkutan, makanan serta bahan rujukan.

“Pasukan yang berjaya di peringkat zon, akan bertanding di peringkat kebangsaan ‘World Scholar’s Cup Pusingan Global’ di Kuala Lumpur pada bulan Mei dan seterusnya yang terbaik akan bertanding di peringkat antarabangsa ‘Tournament of Champion’ di Yale University, Amerika Syarikat pada bulan November.

“Mereka akan diuji dalam perkara-perkara yang menyentuh pengetahuan isu-isu semasa dan pemahaman tentang ekonomi, sosial, topik-topik yang merangkumi kenegaraan, pengetahuan am dan sejarah dunia.

“Mereka yang berjaya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa mendapat pembiayaan penuh,” jelasnya.

Acara yang dipertandingkan adalah seperti debat, pengucapan awam, pasukan kuiz, menulis esei dan ujian aneka pilihan. Urusan pendaftaran dan segala maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web rasmi pertandingan iaitu www.nadmy.com. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment