Friday, March 27, 2015
Senarai Barang Dikecualikan GST
27 Mac 2015 : Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) 1 April ini, Kementerian Kewangan hari ini
memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecualikan
daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, senarai
tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran
penyelenggaraan termasuk sinking fund kediaman dan perkhidmatan
pendidikan.
Menurut Kementerian Kewangan, pengecualian GST kini diperluaskan
kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah
dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.
Kata kenyataan itu, langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan
yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan
seterusnya dapat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai
Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215
jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat
meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.
“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian
Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu
untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.
Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran
penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecualikan
GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut
diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di
bawah hak milik strata.
Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut
diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia
latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan
ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta
652).
Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu turut memberi
penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan
kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk institusi
keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang
dikecualikan cukai tersebut.
Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh
hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan
GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan
rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang
tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.
“Di dalam membantu kemudahan jagaan kesihatan swasta untuk
mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan,
sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik
atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan
GST,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang
dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan,
semua jenis beras dan gula.
Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan
institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan
atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.
“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara
prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak
akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh
dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.
“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa
jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi
layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang
dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras
dengan amalan di peringkat antarabangsa.
“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST
akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenyataan itu
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment