Wednesday, March 11, 2015
Kredibiliti Petisyen Pembebasan Anwar Oleh White House Diragui – Ahmad Shabery Cheek
11 Mac 2015, Kuala Lumpur : Kredibiliti petisyen menuntut kebebasan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipaparkan di laman sesawang
White House kini amat diragui selepas isu penarikan petisyen itu
semalam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari
ini berkata tindakan pengendali laman sesawang White House memaparkan
kembali petisyen itu selepas ditarik semalam, juga membuktikan pejabat
rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai sistem kawalan
teknologi maklumat (IT) yang lemah.
Katanya alasan bahawa petisyen itu yang ditolak White House semalam
atas kesilapan sistem, tetapi muncul semula di talian hari ini dan
dikatakan sudah mencapai 100 ribu sokongan juga adalah mencurigakan dan
memalukan negara itu.
“Semalam mereka buat kenyataan bahawa petisyen yang dibuat untuk
meminta campur tangan White House terhadap kes Anwar Ibrahim telah
ditolak kerana berlakunya penipuan…tetapi hari ini mereka tarik balik
dan kata tiada penipuan, dalam masa serta-merta mereka katakan bilangan
tanda tangan sudah cukup 100,000.
“Bagi saya kenyataan yang dibuat itu amat pelik dan memalukan pihak
kerajaan AS yang sepatutnya mempunyai sistem IT paling canggih di
dunia”, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, satu petisyen menuntut pembebasan Anwar daripada penjara
yang tersiar melalui platform ‘We the People’ dalam laman sesawang White
House, dikeluarkan pentadbirnya kerana dikatakan melanggar peraturan
ditetapkan.
Ahmad Shabery berkata kesilapan itu menyebabkan keseluruhan kredibiliti petisyen itu musnah sama sekali.
Katanya seluruh rakyat Malaysia serta masyarakat dunia juga
seharusnya menganggap petisyen itu sebagai alat untuk kepentingan
tertentu, termasuk usaha untuk menjustifikasikan campur tangan AS
terhadap negara lain.
Perkara itu katanya membimbangkan kerana terdapat pihak tertentu yang cuba melobi hanya untuk kepentingan sendiri.
Kesilapan AS itu turut mengundang pelbagai reaksi rakyat menerusi komen di laman Facebook kedutaan itu di sini.
Antaranya, Sharif Banafee Shaza Irinah dengan komen “Jangan campur
urusan kami..hormati negara kami!” dan Ben J Yeo “Secara jujur saya
setuju tiada kuasa asing mencampuri masalah negara kami”.
Turut memberi komen, Hafiz Hilmi Md Rijani “Saya tidak faham kenapa
pambangkang Malaysia minta tolong dari kamu semua. Selesaikan masalah
anda sendiri dulu, sebelum bantu orang lain”.
Sementara itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Tan
Sri Shahrir Abdul Samad pula menyifatkan tindakan AS itu menghilangkan
keyakinan rakyat dan seluruh masyarakat dunia.
“Saya hilang terus kepercayaan ke atas apa yang dibuat oleh White
House secara online, kerana penipuan ini bukan datang dari sebelah kita
tetapi ada intervensi pihak lain yang rapat dengan kedutaan AS,”
katanya.
Dipetik daripada sumber : UMNO Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment