Tuesday, March 31, 2015
GST: Kuasa Sebenarnya Di Tangan Pengguna
31 Mac 2015 : OOH! Nak beli stok mekap sebelum GST.” Tulis seorang teman dalam status akaun Facebook (FB).
Dan seperti yang dikehendakinya, status itu menerima banyak Likes
bahkan ramai yang turut memberi komen seperti, “Cepat, cepat… sebelum
terlambat!”
Yang lagi turut tumpang sekaki memberi ‘idea’ barangan yang patut
dibeli oleh teman FB penulis tadi. “Jangan lupa minyak wangi dan tuala
wanita pun… saya dah beli stok untuk setahun.” Ada lagi menokok,
“Books”.
Posting atau status akaun FB sebegini memang menarik dan cepat serta
mudah mengundang reaksi ramai. Maklumlah GST atau Cukai Barang dan
Perkhidmatan ini adalah isu yang boleh dianggap paling panas atau
trending ketika ini.
Namun sejauhmanakah kita bertanggungjawab dengan status atau komen-komen yang dimuat naik di laman sosial itu?
Meneliti komen-komen yang dibuat oleh pengguna laman sosial
menunjukkan ramai dalam kalangan kita rakyat Malaysia sebenarnya kurang
arif mengenai GST namun berpura-pura faham dan berlagak pandai mengenai
pelaksanaan cukai baharu itu.
Sekiranya kita mengambil masa membaca penerangan dan maklumat yang
dikeluarkan oleh pihak berkuasa sama ada Jabatan Kastam Diraja Malaysia
(JKDM), Kementerian Kewangan mahupun Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sudah tentu kita tidak akan
mengeluarkan komen-komen sedemikian. Bahkan kita akan merasa malu
memberi komen yang menunjukkan kedangkalan kita sebagai pengguna.
Lebih malu lagi jika kita turut sama menyertai ‘kumpulan orang ramai’
yang dilaporkan sanggup berhimpit dan menyerbu pasar raya untuk
berbelanja membeli barangan keperluan harian kerana bimbang para peniaga
akan menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan GST bermula esok.
Hakikatnya seperti yang telah diuar-uarkan oleh pihak berkuasa
terbabit, kebanyakan barangan keperluan harian termasuk beras, minyak
masak, ayam, daging, ikan, kopi, tepung, lada hitam, segala macam sos,
mentol, susu formula untuk bayi, marjerin, segala jenis roti,
sayur-sayuran dan buku – adalah barangan yang disenaraikan sebagai ‘zero
rated GST’ atau dengan kata mudahnya, tidak dikenakan GST.
Walaupun mekap atau kosmetik dan minyak wangi masih dikenakan GST,
wanita Malaysia tidak patut bimbang kerana dengan cukai baharu itu,
harga produk kecantikan dan haruman itu sepatutnya lebih rendah
berbanding sebelum pelaksanaannya.
Ikut kira-kira mudah jika sebelum ini kita membeli bedak kompak atau
gincu yang dikenakan Cukai Jualan (SST) 10 peratus, tentulah harganya
akan lebih murah selepas 1 April ini kerana GST yang dikenakan hanya 6
peratus.
Mungkin ada yang skeptikal dan merasakan walau apa pun, kuasa
menetapkan harga di tangan peniaga. Akhirnya yang untung peniaga, dan
yang menanggung beban kenaikan harga ialah pengguna.
Betul. Peniaga ada kuasa untuk menaikkan harga. Namun kita sebagai
pengguna juga mempunyai kuasa untuk menyemak harga dan melaporkan
penyelewengan atau pencatutan jika ada kepada pihak berkuasa.
Antara mahu dengan tidak mahu sahaja!
Adakah kita mahu menjadi pengguna bijak atau pengguna yang ‘dipijak’,
yang ‘merelakan’ diri ditindas oleh para peniaga yang tidak
bertanggungjawab, yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Sebagai pengguna bijak, kita boleh sahaja menyemak senarai barangan
yang tidak dikenakan GST, mempersoalkannya jika ada peniaga yang masih
menaikkan harga barangan berkenaan, atau jika enggan ‘bertekak’ memilih
untuk tidak membeli daripada peniaga terbabit.
Sebagai pengguna yang lebih bijak, kita boleh memuat turun aplikasi
MyKira GST yang disediakan secara percuma oleh Kastam ke dalam telefon
bimbit dan menyemak harga setiap kali kita berbelanja. Aplikasi mudah
ini membolehkan kita sebagai pengguna memasukkan maklumat barang untuk
disemak harga semasa sama ada lebih tinggi daripada harga sebelum GST.
Dan lebih baik lagi, aplikasi cerdik ini membolehkan kita sebagai
pengguna membuat aduan serta-merta sekiranya pekedai atau peniaga telah
mengenakan caj berlebihan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya atas
alasan pelaksanaan GST.
Dengan aplikasi ini, pengguna sebenarnya mempunyai cara yang mudah
untuk mengetahui sama ada mereka membayar lebih untuk sesuatu barangan
itu berbanding sebelum GST dilaksanakan.
Pokok pangkalnya di tangan kita. Mahu menjadi pengguna bijak atau sebaliknya.
Adakah kita mahu terus-terusan ditipu peniaga? Apakah kita tidak
kisah berebut-rebut membeli barang keperluan yang sebenarnya tidak
dikenakan GST? Atau pun kita mahu termasuk dalam golongan pengguna yang
menikmati faedah daripada pelaksanaannya?
Tepuk dada tanya selera!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment