Wednesday, March 25, 2015
DAP Dianggap Putus Dengan PAS – Haron Din
26 Mac 2015 : Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap amat melampau sekali
gus memberi isyarat hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai.
Perkara itu disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang
turut menyelar tindakan DAP menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhianat
kerana ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri
sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti
mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan
Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.
“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu perbaiki
semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu,
memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan
berpecah.
“Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini, tidak
fahamkah DAP bahawa Presiden adalah sebahagian dalam parti dan parti
merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak
mahu berhubung dengan Presiden nak berhubung dengan siapa?
“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita
nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau
putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya
habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
DAP semalam mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan
Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di
Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai
pemimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan
berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul
Hadi ‘pengkhianat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul
rang undang-undang persendirian berkenaan hudud ke Parlimen tanpa
pengetahuan parti itu.
Dalam pada itu, tokoh ulama berpengaruh itu berkata, Pas sudah
berkali-kali menyatakan kepada DAP bahawa jika mereka merasakan tidak
perlu lagi kepada pakatan, maka parti itu dipersilakan keluar daripada
gabungan kerjasama antara mereka. Menurut beliau, DAP perlu membuat
keputusan sebegitu tanpa lagi berdolak-dalik mencari pelbagai alasan
dengan menjadikan isu hudud sebagai modal pekikan mereka.
Sedangkan Pas, katanya, menganggap pakatan masih lagi berguna dan
boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan
sebaliknya.
“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Haron berkata, DAP diminta merujuk semula keputusan
pakatan pembangkang dalam soal hudud iaitu ketiga-tiga parti bersetuju
dalam tidak bersetuju tentang agenda perjuangan Pas tersebut.
“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud tetapi janganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment