Monday, March 23, 2015
Kabinet Minta SPAD Tangguh Kenaikan Tambang Pengangkutan Awam
21 Mac 2015, Muar : Kabinet meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) agar menangguhkan dahulu kenaikan kadar tambang baharu
pengangkutan awam seperti yang diumumkan suruhanjaya itu, dua hari
lepas.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat
kabinet semalam telah membincangkan perkara itu dan berpendapat kenaikan
tambang itu tidak sesuai diumumkan dalam keadaan sekarang.
“Kabinet semalam telah berbincang mengenai perkara itu dan
berpendapat asas untuk kenaikan itu ada… seperti kata sudah lama tidak
naik dan pengusaha (pengangkutan awam) telah menanggung kerugian dan
tidak dapat membayar gaji pekerja setimpal.
“Isu yang timbul termasuk soal kecekapan dan mereka merayu. Asas itu
memang adalah cuma soal berbangkit adalah timingnya (masa yang sesuai),”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak Persidangan
Tahunan UMNO Cawangan-cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pagoh di Seri Pekembar di sini, hari ini.
SPAD pada dua hari lalu mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi
dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus manakala bas ekspres pula
naik 22.6 peratus bermula 15 Mei ini.
Kenaikan itu berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar
tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang
terbeban dengan kenaikan harga barangan dan kepentingan orang ramai
yang menggunakan perkhidmatan itu.
Muhyiddin berkata pengumuman SPAD itu tidak sesuai pada masanya
ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan dilaksanakan pada 1 April
ini.
“Saya fikir mungkin kita (kabinet) minta perkara itu ditangguh dahulu
kerana mungkin masa tidak begitu sesuai lebih lagi diumumkan tarikh
yang sama mengenai GST.
“Beban pengguna itu mungkin bertambah terutama mereka yang tinggal di
bandar yang menggunakan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata SPAD perlu melihat keadaan itu
secara keseluruhan dan menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan
kenaikan tambang itu nanti.
Katanya SPAD sementara itu boleh berbincang dan membawa perkara tersebut ke kabinet untuk mengambil kira pandangan semua pihak.
“Ambil kira pandangan pelbagai pihak walaupun sedar mereka ada asas untuk menaikkannya,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment