Wednesday, March 11, 2015

UMNO Perlu Memanfaatkan Perpecahan Dalam Pakatan Pembangkang

Image result for perpecahan pakatan rakyat

12 Mac 2015, Kuala Lumpur : UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) perlu meningkatkan sokongan rakyat  bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang mungkin berlaku pada tahun 2017 atau 2018, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan PRU ke-14 dilihat sebagai medan pertempuran paling sengit dalam menentukan halatuju orang Melayu dan masa depan negara.

“UMNO dan BN dijangka berdepan dengan tentangan paling getir daripada parti-parti pembangkang,” ujarnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspotcom.

Beliau  bagaimanapun yakin kekuatan Pakatan Rakyat (PR) semakin lemah kerana berpendirian bahawa gabungann itu akan berkubur sebelum PRU ke-14.

Katanya, pemenjaraan lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesalahan meliwat dan konfratasi PAS dengan DAP bersabit pelaksanaan hukum hudud penyebab antara punca pepercahan PR.

Lagipun dakwa beliau, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh bukan lagi watak penting dalam senario politik tanahair.

“Perpecahan PR memberi sedikit kelebihan kepada UMNO dan BN, ianya perlu dimanfaat sepenuhnya bagi mendapat sokongan rakyat,” katanya.

Untuk itu kata beliau, UMNO termasuk BN perlu lebih aggresif  dan berusaha menangani beberapa isu yang mencuri perhatian rakyat.

Tidak menyebut secara khusus isu berkenaan tetapi Ketua UMNO Bahagian Cheras itu  membayangkan pelaksanaan GST, isu 1MDB dan kenaikan kos sara hidup perlu diberikan tumpuan.

“Pemimpin UMNO disemua peringkat kena bingkas dengan hujah dan penjelasan relevan bagi mematahkan serangan pihak pembangkang,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan berharap UMNO harus bijak membangkitkian isu berkaitan pihak lawan.

“Kita boleh dedahkan pelbagai isu yang mengaitkan parti pembangkang supaya rakyat tahu belang mereka,” katanya.

Beliau menyebut saluran media sosial menjadi alternatif pembangkang menyerang UMNO dan BN dengan fitnah, provokasi dan tohmahan liar.

Media sosial termasuk portal berita didakwa Syed Ali seperti mempunyai ‘kebebasan tanpa kawalan’ menyiarkan propaganda pembangkang.

“Kita tidak tahu di mana silapnya sehingga akar umbi turut mempersoalkan setakat mana penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi menyekat penularan fitnah menerusi media sosial termasuk terhadap  Perdana Menteri,” tegasnya.

Kebesan tanpa kawalan media sosial siarkan propaganda pembangkang sebar fitnah

Beliau tidak menafikan pembangkang menjadikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sasaran utama serangan fitnah dengan isu-isu yang sengaja direka.

Oleh sebab itu kata beliau, pemimpin UMNO termasuk ketiga-tiga sayap; Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu menjadi benteng kukuh mempertahankan Perdana Menteri yang juga presiden parti.

Beliau mengingatkan pemimpin UMNO tidak perlu berterusan bermain dengan ungkapan retorik sehingga rakyat terhakis keyakinan  terhadap parti.

“Mereka juga tidak boleh terlalu membiarkan Najib keseorangan menepis serangan pihak lawan, mereka kena tampil dengan  kekuatan yang ada,” hujahnya lagi.

Selain itu, beliau berpendapat Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian perlu lebih berperanan pro-aktif mempertahankan kredibiliti parti dan kedudukan presiden serta timbalan presiden.

“Jika selama ini kita sentiasa mengambil pendekatan defensif terhadap serangan pembangkang, ianya perlu diubah kepada lebih aggresif dan drastik.

Syed Ali mendakwa pembangkang sedang menyusun pelbagai strategi menanam persepsi buruk terhadap UMNO dan kerajaan sehingga PRU ke-14.

“Kita kena belajar daripada sejarah, kita tidak ambil peduli bila pembangkang mula menysusun strategi menerusi laman-laman sosial akhir tahun 1990 dengan laporan fitnah dan persepsi,” jelasnya.

Dan kesannya kata beliau, PRU ke-12 menyaksikan BN mengalami kekalahan yang paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Sehubungan itu kata beliau, UMNO dan BN  perlu mencipta kejayaan yang lebih besar walaupun PRU ke-13 mampu memperolehi 133 kerusi Parlimen.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengundi muda menjadi garis penentu untuk mengukur kejayaan masa depan UMNO dan BN.

“Golongan ini terdedah dengan pelbagai input yang diperolehi menerusi media-media sosial, ini satu trend yang perlu diberikan perhatian serius,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau tetap berkeyakinan UMNO akan kekal meraih sokongan majoriti daripada pengundi Melayu.

“Manakala rakan komponen BN perlu bekerja keras untuk kembali menambat hati pengundi bukan Melayu setelah sikap sebenar mereka terserlah pada PRU ke-13,” katanya.

Dipetik daripada : UMNO Online

No comments:

Post a Comment