Wednesday, March 25, 2015

Sampai Bila PAS Mahu Dihina?

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjyjHxvFd9BNzMAO3je1GZ3PPton0O2MNh5o7P9UNUHWUNOD6o8MgO5C8jXgQsWSK5ZHWvteXyW_zANhkINVJsYXHsdqqdgLB9Sc5vLmu489ZEmZaWD-ODj5KdNZkdpeYQzI1RUzvowS-yN/s1600/dap+tuan+besar.jpg

26 Mac 2015 : PAS mempersilakan DAP ke­luar pakatan manakala DAP pula mahu Pas tinggalkan pakatan. Itulah senario ter­kini pertelingkahan antara dua parti tersebut yang sebelum ini bersedia berganding bahu dalam empat pilihan raya umum semata-mata mahu mencapai matlamat menawan Putrajaya.

Walaupun menyedari perbezaan ideologi cukup ketara antara mereka, namun kedua-dua parti terus bersandiwara dan berpura-pura melalui kerjasama politik yang diwujudkan. 

DAP memperalatkan Pas untuk mendapat sokongan orang Melayu manakala Pas pula mempergunakan DAP untuk meraih sokong­an orang Cina.

Ibarat barang palsu atau tiruan yang tidak akan bertahan lama, begitulah juga pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sandiwara politik antara mereka kini semakin sampai ke penghujungnya. Kepura-puraan dalam menjalin kerjasama sudah tidak dapat lagi dilindungi oleh retorik dan hipokrasi politik.

Itulah yang berlaku sekarang apabila Pas dan DAP bertembung akibat hasrat Pas untuk melaksana­kan hukum hudud di Kelantan. DAP tanpa sedikit pun rasa hormat kepada Pas menyerang parti yang memperjuangkan dasar Islam itu habis-habisan. Lebih malang lagi, DAP melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur – itulah tiga perkataan yang diguna pakai oleh DAP bagi mengecam Abdul Hadi – salah seorang ulama dan tok guru yang dihormati dalam Pas. Perkataan yang dilemparkan itu cukup menghiris perasaan pemimpin dan ahli Pas. Hanya parti yang tidak mempunyai maruah dan martabat serta harga diri sahaja yang masih mahu bersedia menerima penghinaan itu.

Oleh itu pemimpin-pemimpin Pas tidak harus mengamalkan sikap ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ dengan hanya membuat kenyataan mempersilakan DAP keluar pakatan pembangkang. Pas sepatutnya dengan rela hati berbuat demikian kerana sudah terbukti parti itu sama sekali tidak dihormati oleh sekutu-sekutunya.

Jika Pas mahu terus berada dalam pakatan pembangkang, dengan siapa Pas mahu bekerjasama? Apakah ha­nya dengan PKR? Bukankah PKR sejak 1999 lagi sentiasa ‘senada dan seirama’ dengan DAP dalam ‘membuli’ Pas?

Kajilah rentetan politik yang berlaku sepanjang hubungan antara ketiga-tiga parti itu jelas membuktikan PKR dan DAP ibarat kawan karib hidup semati manakala Pas pula hanya kawan yang diperalat dan diperkudakan bagi mencapai matlamat politik kedua-dua parti itu.

Pemimpin-pemimpin Pas bukannya tidak memahami fakta ini, tetapi mereka masih bersandiwara kerana tidak mahu jika apa-apa berlaku akan memberikan keuntungan politik kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sebab itulah walaupun sudah dihina dengan begitu teruk oleh DAP, Pas masih lagi berkira-kira dan berdolak-dalik dalam membuat pendirian tegas untuk meninggalkan pakatan pembangkang. Sepatutnya apabila Presiden parti sudah dihina, dasar parti sudah ditentang dan perjuangan telah dihalang, Pas tidak perlu membuat apa-apa pertimbang­an sebaliknya mereka hanya mempunyai satu pilihan iaitu meninggalkan pakatan pembangkang.

Sudah berkali-kali diperingatkan oleh pelbagai pihak bahawa Pas bukanlah parti yang melukut di tepi gantang atau parti ‘yang terpaksa menyembah pihak lain’ untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya. Rekod pilihan raya sudah membuktikan fakta tersebut tetapi malangnya dalam kalangan sesetengah pemimpin Pas, mereka sudah terpengaruh dengan politik penggabungan kuasa untuk menang dalam pilihan raya, oleh itu model kerjasama dalam BN mahu ditiru.

Tetapi satu perkara yang sengaja dilupakan oleh pemimpin-pe­mimpin Pas, kerjasama di dalam BN ialah berteraskan toleransi, persefahaman serta hormat-menghormati antara satu sama lain. Setiap masalah yang wujud antara komponen diselesaikan ibarat ‘menarik rambut dalam tepung’. Tiada siapa dalam komponen BN yang mahu menjadi ‘taiko’ atau ‘memperkudakan’ pihak lain.

Bagaimanapun dalam pakatan pembangkang, situasi itu tidak berlaku. DAP dan PKR sering sahaja melakukan tindakan tidak menghormati Pas. Apabila Pas bersuara mereka akan menentang. Hanya cakap dan tindakan DAP serta PKR sahaja diambil kira, Pas hanya perlu menurut sahaja.

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila Pas masih memberi isyarat mahu terus berada dalam pakatan pembangkang biarpun DAP sudah terang-terang menghina kepimpinan parti itu. Mungkin disebabkan sikap itulah DAP tidak pernah rasa takut atau gentar untuk berkata apa sahaja terhadap Pas.

Pas perlu terima fakta dan memahami tindak-tanduk DAP sudah jelas membuktikan parti itu melayan Pas ibarat `musuh politik’ mereka. Sebab itulah mereka terlalu celupar melemparkan pelbagai tuduhan kepada Abdul Hadi dan begitu berani memberi amaran kepada Pas supaya mengikut segala apa yang diputuskan oleh pakatan pembangkang. 

DAP tidak akan menghormati Pas dan tidak mungkin akan menjalin hubungan akrab dengan Pas.

Apa yang selama ini mereka lakukan hanyalah sandiwara politik. Kalau betul mereka menghormati Pas, sudah pasti apa juga kenyataan atau tindakan yang dibuat akan mengambil kira perasaan pemimpin dan ahli-ahli Pas.

Namun keadaan itu tidak berlaku, justeru apa lagi yang Pas tunggu? Sampai bilakah Pas mahu dicaci dan dihina oleh sekutu-sekutu politiknya? Di manakah maruah alim ulama dalam Pas yang selama ini turut dihormati umat Islam?

Kepimpinan Pas perlu sedar perbezaan politik antara parti itu de­ngan DAP bukan sekadar 10 peratus seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah pemimpin Pas tetapi 90 peratus, hanya 10 peratus sahaja ada persamaan iaitu hendak me­rebut kuasa dan menumbangkan BN.

Pas boleh sahaja menafikan fakta itu dan meneruskan hasrat untuk terus bekerjasama dalam pakatan pembangkang selepas mengadakan rundingan serta perbincang­an semula dengan DAP berikutan konflik yang berlaku, tetapi Pas perlu ingat ini bukan kali pertama DAP atau PKR melakukan tindakan yang mencabar maruah Pas serta melayan Pas bagaikan sebuah parti yang tidak ada apa-apa kekuatan.

Jika Pas beralah lagi maka perca­yalah mereka tidak boleh menyalahkan DAP atau PKR berikutan impak buruk yang mereka terima sebaliknya Pas perlu mengakui kesilapan perhitungan politik yang dilakukan.

Oleh itu, cukup-cukuplah dilihat begitu kemaruk hendak terus berada dalam pakatan biarpun maruah sebagai sebuah parti Islam ‘diinjak-injak’ demi mengikut kehendak politik sebuah parti seperti DAP.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment